8 tumpuan utama KDN perkasa perkhidmatan

Memperkukuh keselamatan sempadan negara adalah antara lapan tumpuan utama ditetapkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mencapai 25 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang digariskan kerajaan tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata bagi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, kementeriannya akan terus memperkukuhkan keselamatan negara bagi membanteras pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran serta jenayah rentas sempadan.

Selain itu, tambah beliau, kementerian juga akan memperkukuhkan dan mempelbagaikan inisiatif mendekati komuniti sebagai usaha mencegah jenayah serta meningkatkan persepsi rasa selamat dalam kalangan rakyat.

"Kami juga akan memperketatkan peraturan dan mempertingkatkan penguatkuasaan untuk membanteras jenayah serta Pendatang Asing Tanpa lzin (PATI) selain meningkatkan kesedaran mengenai jenayah sebagai langkah pendidikan pencegahan melalui kempen di institusi pendidikan, komuniti, tempat kerja dan media sosial.

"Dalam pada itu, kami juga akan memperhebatkan usaha dan program koreksional, rawatan, pemulihan serta program selepas pemulihan bagi mengekang kadar pengulang laku jenayah selain penagihan dadah atau salah guna bahan berulang," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku Perancangan Strategik KDN 2018, di sini, hari ini.

Katanya, tumpuan lain termasuk memperkemaskan strategi pencegahan dan kawalan radikalisme, ekstremisme serta usaha memerangi keganasan global selain memelihara dan menjunjung integriti dalam setiap tindakan serta pertimbangan supaya imej KDN sentiasa terpelihara.

Ahmad Zahid berkata, kementeriannya juga akan membudayakan pemikiran tanpa kotak, minda strategik dan minda keselamatan dalam kalangan warganya. Beliau, dengan penuh kejujuran turut berharap supaya pencapaian yang diperoleh di KDN sebelum ini dapat dipertahankan pada tahun ini walaupun jumlah KPI sudah diturunkan.

"Saya amat yakin walaupun pada tahun ini bilangan KPI menteri dihadkan kepada 25 sahaja, kita akan terus di hadapan berbanding kementerian lain," katanya.

Ahmad Zahid memaklumkan, sepanjang empat tahun bergelar Menteri Dalam Negeri, beliau melihat usaha keras seluruh warga KDN yang kemudiannya dizahirkan dalam bentuk pertambahan KPI iaitu 13 KPI pada 2014, 17 KPI (2015), 22 KPI (2016) dan 38 KPI pada 2017. Malah, katanya, KDN menjadi antara kementerian yang berani meletakkan sasaran KPI terbanyak berbanding kementerian lain.

"Namun, KDN terus cemerlang apabila berjaya menyahut cabaran dan melepasi pencapaian tidak rasmi KPI 2017 sebanyak 157 peratus," katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, Ahmad Zahid yang menyambut hari kelahiran ke-65 hari ini turut diberi kejutan oleh warga KDN dengan sebuah kek dan pulut kuning. Majlis ringkas itu berlangsung di pejabat Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri Sudan, Mejar Jeneral Dr Hamid Mohamed Manan.

PICTURE

Malay
Sumber: 
BERITA HARIAN