KENYATAAN MEDIA MENGENAI SUMBANGAN 2.6 BILLION

Pejabat Timbalan Perdana Menteri

Saya mengambil maklum satu kenyataan hari ini oleh Peguam Negara mengenai derma. Siasatan yang membawa kepada penemuan Peguam Negara adalah teliti dan menyeluruh, di mana setiap bukti dan perkara disiasat dengan mendalam.  Tiada sesiapapun harus mempersoalkan proses undang-undang kita atau kecekapan dan kebebasan institusi di Malaysia.

Seperti yang telah dijelaskan, tiada syarat yang dikenakan dengan derma yang telah dibuat kepada Perdana Menteri secara peribadi, iaitu ia dibuat daripada kepercayaan kepada beliau dan kepimpinan beliau mengenai isu-isu utama. Saya mengetahui akan perkara ini, selepas bertemu sendiri dengan penderma yang dimaksudkan. YAB Perdana Menteri memilih sendiri untuk menggunakan sumbangan untuk kepentingan parti dan keperluan masyarakat di seluruh Malaysia.

Sebagai ahli politik, kita sentiasa bersedia untuk diserang oleh musuh-musuh yang ingin merosakkan reputasi kita dengan tuduhan palsu untuk menidakkan kita. Walau bagaimanapun, adalah salah untuk merosakkan reputasi kerajaan dan negara untuk kepentingan politik peribadi. Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan peribadi.

Kita telah terlalu banyak menghabiskan masa dengan perkara ini. Justeru, saya berharap ia tidak diungkit lagi. Kita mesti bersatu dan bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk Malaysia. Beliau adalah orang yang amat bersesuaian untuk membawa kita mengharungi kemelut ekonomi global semasa dan ancaman keselamatan yang dihadapi kini.

Tarikh: 
Tuesday, January 26, 2016