KENYATAAN MEDIA MESYUARAT PASUKAN PETUGAS KHAS SEKOLAH-SEKOLAH TAHFIZ

 

 

1.      Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz bertempat di Dewan Persidangan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh YB Menteri-menteri, YB Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian, Ketua-ketua Jabatan/Agensi dan wakil-wakil NGO yang berkaitan.

2.      Mesyuarat ini merupakan langkah proaktif Kerajaan Persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap isu-isu keselamatan di sekolah-sekolah tahfiz di seluruh negara tanpa mencampuri hal ehwal pengurusan sekolah-sekolah tahfiz yang berada di bawah bidang kuasa Kerajaan-kerajaan negeri. Ini bagi memastikan kes-kes berkaitan keselamatan terutamanya kebakaran tidak akan berulang lagi.

3.      Fokus utama Mesyuarat ialah mengenai pelaksanaan syor-syor yang telah dikemukakan dalam Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Bagi Menyiasat Kebakaran Di Sekolah Agama, Yan, Kedah dan Kedudukan Sekolah-Sekolah Persendirian Yang Lain Di Semenanjung Malaysia. Syor-syor ini akan ditambah baik untuk dikuatkuasakan ke atas sekolah-sekolah tahfiz sedia ada dan yang akan datang merangkumi perkara-perkara seperti berikut:

  1. Isu-isu berkaitan perundangan yang melibatkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) khususnya yang berkaitan definisi sekolah persendirian yang tidak merangkumi sekolah yang mengajar subjek agama semata-mata, proses pendaftaran dan pengawalan pendaftaran sekolah agama yang tidak dikuatkuasakan dengan baik;
  2. Peruntukan undang-undang yang tidak jelas untuk asrama/hostel sekolah agama serta tiada peruntukan undang-undang yang spesifik dan SOP untuk kantin/tempat memasak;
  3. Isu penyelenggaraan dan audit bangunan oleh PBT secara berkala;
  4. Masalah tingkah laku dan sikap kepedulian (behavioural) serta tahap kesedaran yang rendah mengenai keselamatan awam; dan
  5. Penglibatan NIOSH untuk membantu meneliti aspek dan ciri-ciri keselamatan di maahad tahfiz.

4.      Pada masa ini Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) telah pun diwujudkan dan diselaraskan oleh pihak JAKIM. Walau bagaimanapun kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri-negeri. Justeru, mesyuarat hari ini bersetuju supaya perkara berkaitan penyelarasan Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pondok-pondok agama di seluruh negara dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) akan datang.

5.      Selain perbincangan mengenai syor-syor yang dikemukakan dalam Laporan RCI, sebanyak empat kertas taklimat telah dibentangkan iaitu oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta NIOSH.

6.      Mesyuarat HLC ini juga telah bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa penyelarasan yang bersifat kekal bagi memantau pengurusan Sekolah Agama Rakyat (SAR), maahad tahfiz dan pondok-pondok agama di seluruh negara, termasuk aspek penambahbaikan piawaian keselamatan sedia ada. Jawatankuasa ini akan diurusetiakan oleh JAKIM yang juga merupakan urusetia kepada Mesyuarat MKI.

7.      Dalam perkembangan yang berkaitan, PDRM masih menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan. Kes disiasat mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan (bunuh) dan seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api).

Putrajaya.

19 September 2017

Tarikh: 
Monday, September 25, 2017