LAWATAN KERJA YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI BAGI MENGHADIRI PERHIMPUNAN AGUNG INTERPOL KE-86 DI REPUBLIK CHINA

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri telah mengadakan lawatan kerja ke Republik Rakyat China (RRC) dari 25 hingga 27 September 2017.  Semasa lawatan kerja tersebut, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menghadiri majlis pembukaan Perhimpunan Agung INTERPOL ke-86 yang dirasmikan oleh TYT Xi Jinping, President PRC dan seterusnya mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Li Keqiang, Premier of the State Council of PRC pada 26 September 2017.

Perhimpunan Agung INTERPOL ke-86 bertemakan “Connecting Police for a Safer World” akan memfokuskan kepada usaha-usaha INTERPOL dalam menyediakan platform komunikasi yang lebih berkesan di kalangan semua Negara Anggota INTERPOL dan meningkatkan kapasiti untuk memerangi kesemua bentuk jenayah antarabangsa. Tema ini turut menggambarkan penekanan yang lebih tinggi oleh INTERPOL dalam mempromosikan kerjasama antara agensi polis seluruh dunia dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman antarabangsa dan menghadapi peningkatan ancaman global.  Sesi pada kali ini telah dihadiri oleh delegasi peringkat tertinggi dari 157 buah negara anggota INTERPOL.

Penyertaan Malaysia dalam perhimpunan ini menggambarkan komitmen negara dalam memerangi jenayah antarabangsa, termasuklah ancaman keganasan, jenayah siber, jenayah terancang dan gerakan keganasan ekstremis dan radikal seperti yang digariskan di bawah Resolusi 2178 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).  Pada sesi perhimpunan kali ini, Malaysia telah memberi fokus kepada isu-isu berkaitan jenayah siber yang telah menyebabkan Negara kerugian berpuluh jutaan ringgit.

YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga telah membuat kunjungan hormat ke atas TYT Guo Sheng Kun, Menteri Keselamatan Awam RRC serta TYT Meng Jianzhu, Setiausaha Politik dan Hal Ehwal Undang-undang Pusat Parti Komunis China.  Kedua-dua belah pihak telah membincangkan mengenai kerjasama keselamatan dua hala, yang antara lain mengenai inisiatif anti keganasan melalui Counter-Messaging Centre (CMC) yang ditubuhkan di Malaysia, termasuk mengadakan kerjasama menangani isu-isu keselamatan yang lain seperti rangkaian jenayah antarabangsa  dan jenayah siber.

_____________

24 September 2017

Tarikh: 
Monday, September 25, 2017