MAJLIS APRESIASI TOKOH SARJANA: PENERIMA ANUGERAH BUKU NEGARA 2015

Tempat: 
Dewan Tun Hussein Onn, PWTC, Kuala Lumpur
Tarikh: 
Monday, January 4, 2016

Assalamualaikum Warahmatullahiwabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

1. Terlebih dahulu, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada Yayasan Pembangunan Buku Negara atas inisiatif menganjurkan Majlis Apresiasi Tokoh Sarjana: Penerima Anugerah Buku Negara 2015 ini. Sesungguhnya majlis ini bersesuaian dengan iltizam Kerajaan yang sentiasa mengiktiraf dan menghargai tokoh-tokoh sarjana dan penulis  buku negara.

2. Bangsa yang maju dan bertamadun tinggi sentiasa memberi penghargaan kepada para pemikir dan karyawan kerana sumbangan mereka sangat bernilai.  Banyak karya-karya agung nukilan pengarang-pengarang besar beratus tahun malah ribuan tahun dahulu masih relevan pada zaman ini sehingga dijadikan topik kajian para sarjana hari ini.

3. Kata-kata hikmat atau ungkapan yang mendalam maksudnya yang digarap oleh pengarang besar ini, acap kali dipetik para pengkaji dalam menghasilkan buku-buku baru. Siswa dan siswi pula terus menjadikan buku-buku karya agung sebagai rujukan atau kajian tesis mereka.

Hadirin sekalian,

4. Malaysia sedang melangkah menuju status negara berpendapatan tinggi dengan masyarakat yang berfikiran maju.  Masyarakat yang maju adalah mereka yang tinggi ilmunya dengan pengetahuan umpamanya lautan luasnya.  Untuk menjadi masyarakat sedemikian, kita mestilah rajin membaca.

5. Namun pada pengamatan saya, penerbitan buku di kala ini banyak bertumpu pada buku-buku teks sekolah.  Penerbitan buku bacaan umum yang bermutu tinggi masih lagi kurang sedangkan kita perlukan lebih banyak buku intelektual yang menepati cita rasa pembaca zaman sekarang.

6. Disinilah golongan sarjana harus memainkan peranan mereka dengan menghasilkan buku-buku yang lebih kreatif.   Saya ingin melihat, bukan sahaja hasil golongan sarjana ini sekadar laris di laman sendiri tetapi lebih daripada itu, iaitu menjadi sebutan di persada antarabangsa.

7. Kita harus mencabar diri sendiri untuk menghasilkan karya yang boleh diiktiraf sebagai karya agung.  Selain menghasilkan buku intelektual, novel tidak boleh dikesampingkan kerana Malaysia masih kekurangan novel agung.  Malah, bukan itu sahaja, kita juga kekurangan buku fiksyen dan non-fiksyen yang bermutu tinggi.

8. Harry Potter, saya pasti ramai yang sudah menonton filem-filemnya yang sentiasa dinanti-nantikan oleh seluruh dunia.  Asalnya ialah novel fantasy bersiri nukilan J.K Rowling.  Sehingga kini novel bersiri Harry Potter ini sudah terjual sebanyak 450 juta naskah di seluruh dunia, menjadikan ia sebagai “the best-selling book series in history”.  Lebih daripada itu, novel ini sudah diterjemaahkan ke dalam 73 bahasa.  Itu adalah satu contoh karya agung yang harus kita ambil sebagai cabaran untuk membakar semangat kita menghasilkan buku bertaraf dunia.

Hadirin sekalian,

9. Dalam usaha kita mewujudkan sebuah masyarakat yang berpadu dan hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira fahaman agama dan batasan kaum, ilmu adalah antara tali pengikatnya.  Malaysia maju yang kita impikan harus berteraskan masyarakat yang berilmu. Sekurang-kurangnya berpengetahuan dan ada pengalaman mengenai batasan kehidupan sesuatu kaum dan etnik di negara kita.

10.   Rasa hormat kita terhadap sosio budaya sesuatu kaum dan etnik itu bergantung pada sejauh mana pemahaman kita terhadap bangsa tersebut. Tanpa ilmu serta   pengetahuan memungkinkan kita dengan tidak sengaja melukai perasaan yang boleh menimbulkan salah faham yang kemudian membara memporak-perandakan masyarakat.

11. Disinilah minat membaca perlu terus dipupuk kerana mereka yang suka membaca pastinya cintakan kedamaian. Orang yang suka membaca dan bahan bacaannya pula adalah yang menyeru ke arah kebaikan, akan menyebarluaskan ilmu dan pengetahuan yang baik kepada orang lain.

12. Sememangnya usaha membudayakan amalan membaca bukan sesuatu yang yang mudah.  Ia memerlukan kerjasama dan sokongan semua pihak, tidak kita samasa agensi kerajaan atau swasta dan NGO, kesemuanya mesti bergerak sebagai satu pasukan.

13. Justeru, Kempen Jom Baca, Program Wakaf Buku anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara hendaklah disokong.  Masih banyak lagi ilmu di luar sana yang menanti untuk dicungkil.   Walaupun semua ranting kayu dijadikan mata pena dan seluruh air di lautan dijadikan dakwatnya, ilmu Allah tidak akan habis ditulis untuk dibaca.  Sehari selembar benang akhirnya menjadi sehelai kain.

14. Saya juga berharap penerbit-penerbit universiti melipatgandakan usaha menambah jumlah tajuk yang diterbitkan setiap tahun dalam pelbagai disiplin.  Jika sebelum ini tumpuan hanya diberikan kepada disiplin tertentu, sekarang kita perlu seimbangkan. Usaha juga harus ditingkatkan untuk memasarkan buku terbitan tempatan ke pasaran antarabangsa. Begitu juga usaha menterjemahkan karya tempatan mesti dilipatgandakan.

15. Saya ingin melihat masyarakat penulis lebih berjaya dan maju. Untuk itu kerajaan akan terus memberi insentif yang lebih banyak untuk membeli buku.  Penyediaan bangunan perpustakaan dan kemudahan asas yang canggih sahaja belum mencukupi. Bajet untuk buku juga harus ditambah. Kita ingin masyarakat Malaysia, sebuah masyarakat yang benar-benar menghayati kehidupan cemerlang dan mengamalkan gaya hidup yang sihat. Masyarakat negara maju mestilah menerbitkan lebih banyak buku.

Hadirin sekalian,

16. Saya menghargai para sarjana kerana memartabatkan ilmu dan mencurahkan bakti mendidik anak bangsa. Para guru, pensyarah dan institusi pendidikan sangat dekat di hati saya. Penghormatan yang tinggi harus diberikan kepada para ilmuan kerana dengan ilmulah kita boleh berjaya dalam pelbagai bidang.  Sokongan juga perlu diberikan terhadap segala usaha untuk memajukan industri buku tempatan.  Saya juga berharap majlis seumpama ini akan menjadi landasan untuk mengangkat martabat industri buku ke persada antarabangsa.

Sekian.  Terima kasih.