MAJLIS PELANCARAN FIESTA BAGAN DATOH 2015

Tempat: 
Padang SMK Hutan Melintang, Perak
Tarikh: 
Saturday, January 2, 2016

Bismillah hirrahman nirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

1. Pertama sekali, setinggi-tinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Illahi kerana atas limpah rahmat dan kasih sayang yang dianugerahkan olehNya, dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena majlis pelancaran Fiesta Bagan Datoh 2016.

2. Syabas kepada Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datoh sebagai penganjur bersama atas usaha dan kejayaan menghimpun begitu ramai penduduk dari seluruh pelosok Bagah Datoh dan kawasan berhampiran ke fiesta ini.  Saya amat berbesar hati melihat inisiatif penganjuran program sebegini yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat khususnya di kawasan Parlimen Bagan Datoh dan amnya di negeri Perak.

3. Saya penuh yakin program yang dilaksanakan secara perkongsian pintar ini akan dapat mengeratkan lagi silaturahim dan juga mengintegrasikan serta mengemblengkan bersama gerak kerja antara badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO ) dengan agensi kerajaan dan juga masyarakat di kawasan Parlimen Bagan Datoh sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

4. Saya difahamkan, Fiesta Bagan Datoh 2016 yang julung-julung kali diadakan ini mengandungi pelbagai aktiviti yang membabitkan semua golongan. Untuk wanita, disediakan segmen dari dapur ke kreativiti gubahan.  Bagi golongan orang muda pula, pelbagai acara sukan disediakan dan untuk masyarakat am, mereka boleh menyertai acara sukan rakyat.

5. Selain itu, disediakan juga pameran oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.  Saya berharap para pengunjung akan menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan informasi mengenai khidmat kerajaan. Dapatkanlah maklumat secara terus daripada kementerian dan agensi yang menyertai Fiesta ini kerana ia adalah yang sahih.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

6. Negara kita sekarang tidak terlepas daripada menghadapi cabaran globalisasi di mana dunia kini tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit sesebuah negara itu terbuka luas untuk dimasuki oleh pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media komunikasi dengan adanya internet.

7. Kini perhubungan dan perkongsian maklumat sesama manusia dapat dilakukan dalam sekelip mata.  Situasi ini mampu mempengaruhi malah mengubah cara hidup dan budaya kita.

8. Masyarakat hari ini begitu mudah terpengaruh dengan informasi maya yang tidak tentu kesahihannya.  Tanpa merujuk kepada pihak yang berkenaan, masyarakat terus mempercayainya dan lebih malang lagi, menyebarkan pula maklumat yang belum disahkan. 

9. Keterujaan kita menyebarkan berita atau maklumat yang belum disahkan boleh menjadikan hidup haru-biru.  Acap kali terjadi, sumber maklumat atau berita palsu itu sebenarnya sengaja berniat mahu melihat kita kelam-kabut dan mereka berasa sangat seronok bila tahu kita jadi kelam-kabut.

10. Suatu ketika dahulu, sebelum adanya Internet, perbuatan seperti ini dipanggil “prank” tetapi hanya bertujuan untuk bergurau dan mengenakan orang-orang yang kita kenal.  Tetapi kini dengan adanya Internet di mana wujudlah “Face Book” “WhatsApp” dan “Telegram” dan “Twitter”,  satu dunia boleh menjadi haru-biru dengan hanya satu message yang tidak disahkan kesahihannya tetapi sudah dikongsi secara tanpa batasan.

11. Sikap tidak bertanggungjawab kita menyebarluaskan berita, maklumat palsu atau fitnah merupakan satu bentuk penjajahan cara baru di mana minda kita dijajah untuk menerima apa yang sumber berita palsu atau fitnah itu mahu.  Kemudahan media sosial ini juga digunakan untuk menabur fitnah terhadap Kerajaan Barisan Nasional dengan menanam persepsi bahawa Kerajaan Barisan Nasional tidak telus, boros dan tidak mempedulikan rakyat.

12. Meskipun sudah diberikan penjelasan, fitnah ini tetap diulang-ulang untuk menjajah minda kita.  Kita mestilah berhati-hati.  Dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa dan yang penting janganlah pula kita menjadi agen untuk menyebarluas berita palsu dan fitnah.

13. Berbalik kepada Fiesta Bagan Datoh 2016 ini, kita berilah sokongan kepada penganjur bersamanya kerana melalui penganjuran program sebegini kita dapat bersama – sama meluangkan masa dengan keluarga dan masyarakat setempat untuk terlibat sama dalam pelbagai aktiviti dan acara yang diaturkan.  Saya percaya sekiranya program rakyat seperti ini diteruskan ke semua kawasan sudah tentu masyarakat setempat yang terlibat akan lebih menghargai antara satu sama lain.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

14. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali tahniah saya ucapkan kepada Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya dan Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bagan Datoh kerana telah berjaya menganjurkan program ini dengan kandungan pengisian yang begitu baik.  Terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbangkan khidmat bagi merealisasikan pelaksanaan program ini.  Kepada seluruh penduduk Bagan Datoh, terima kasih saya ucapkan atas sambutan dan kerjasama yang diberikan dalam penganjuran program ini. Semoga usaha murni ini dapat diperluaskan kepada kawasan-kawasan parlimen yang lain sebagai salah satu aktiviti yang bermanfaat.

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahir rahmanir rahim, saya merasmikan Fiesta Bagan Datoh 2016 ini.

Sekian.  Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan terima kasih.