Media kini lebih bebas

KUALA LUMPUR: Media kini menikmati lebih banyak kebebasan berbanding pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri berkata, media pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri itu dikongkong manakala agenda mereka sudah ditentukan lebih awal. Ahmad Zahid berkata, kajian kedoktorannya membabitkan perbandingan antara akhbar Berita Harian (BH) dan Utusan Malaysia dalam lima Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia di bawah pemimpin yang paling lama memerintah di negara ini.

"Saya melihat fakta yang terpapar dalam kajian saya itu jika ia masih relevan lagi, adalah satu gambaran bahawa penentuan agenda (media) dibuat oleh seseorang. "Apa yang dilakukan ketika itu, mungkin dipersetujui atau tidak oleh rakan pengamal media, (tetapi) sebenarnya penentuan itu tidak banyak bergantung kepada pemilik media atau kumpulan persuratkhabaran tertentu tetapi oleh seseorang. "Dalam hal ini, kita lihat perbezaan kebebasan akhbar diterjemahkan lebih baik pada zaman selepas beliau, tanpa kongkongan dan tanpa ada agenda yang ditentukan lebih awal," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pameran BH Khas Hari Kebangsaan di ruang legar tingkat dua KL Sentral di sini, hari ini.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid turut melancarkan buku 'coffee table' BH bertajuk 'BH Enam Dekad Kekal Dinamik' yang memaparkan pelbagai kisah menarik disiarkan akhbar berbahasa Melayu itu selama 60 tahun untuk diabadikan dalam lipatan sejarah negara. Yang turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari; Pengerusi Media Prima Bhd (MPB), Tan Sri Ismee Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid, Pengerusi The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Tan Sri Ismail Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid.

Ahmad Zahid turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan di bawah Kementerian Kewangan Diperbadankan (Mof Inc) membantu media arus perdana termasuk BH dengan membeli iklan dalam akhbar terbitan mereka. "Saya ucapkan tahniah kepada kumpulan MPB kerana tanpa subsidi daripada kerajaan pun masih boleh terus meraih keuntungan. "Begitupun, saya harap syarikat GLC atau Mof Inc membantu semua media ini kerana mereka tidak boleh hanya mengharapkan kepada pembelian dan lain-lain pendapatan. "Mereka masih bergantung kepada pengiklanan.

"Oleh kerana mereka adalah media yang melaksanakan kesederhanaan dalam pendekatan menterjemahkan agenda media dan penentuan agenda, maka saya harap rakan dalam GLC dan mana-mana syarikat berkepentingan dalam kerajaan membantu supaya mereka dapat melangsungkan kehidupan dalam dunia persuratkhabaran yang semakin sengit," katanya.

GAMBAR

BERITA HARIAN 

Malay
Sumber: 
BERITA HARIAN