MERASMIKAN MAJLIS GRADUASI PROGRAM HUFFAZ AQSO SM IMTIAZ ULUL ALBAB MELAKA 2015

Tempat: 
SM IMTIAZ ULUL ALBAB, ALOR GAJAH, MELAKA
Tarikh: 
Saturday, January 9, 2016

Terima kasih Saudara Pengerusi Majlis

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

1.   Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T, dengan taufik dan inayah-Nya dapat kita mengadakan “Majlis Graduasi Al-Huffaz 2015” pada hari ini.

2.   Penganjuran majlis graduasi ini sebenarnya adalah bertujuan untuk memberi motivasi, perangsang dan pentauliahan terhadap para pelajar yang telah berjaya menghafaz Al Quran.

3.   Saya yakin para guru, assatizah dan para murabbi mempunyai kekuatan dan semangat yang tinggi dalam menghadapi cabaran globalisasi bagi melahirkan pelajar yang berketrampilan dari segi hafazan Al-Quran, akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Para Ibu Bapa Sekalian.

4.   Program Hafaz Aqso merupakan program khas hasil kerjasama SM imtiaz Ulul Albab Melaka bersama Pesantren Al-Fatah, Indonesia.  Pelaksanaan program dalam tempoh 3 bulan telah melahirkan seramai 21 orang Al-Hafiz pada tahun 2013.  Pada tahun 2014 pula, 94 peratus dicapai iaitu seramai 54 orang huffaz telah dilahirkan. Alhamdulilah, pada tahun ini peratus pencapaian adalah 100% iaitu seramai 76 orang Al-Hafiz telah berjaya dilahirkan.

5.   Perlaksanaan program ini sememangnya mendekatkan diri para pelajar dengan Al-Quran sekaligus mengingatkan mereka tentang kepentingan untuk kembali kepada Al-Quran, memahami serta mengamalkannya bukan hanya untuk diri sendiri bahkan masyarakat di sekeliling.

6.   Elemen Quranik merupakan salah satu teras utama daripada Program Ulul Albab selain elemen Ensiklopedik dan Ijtihadik.  Ini merupakan bentuk pendidikan yang merangkumi kehidupan dunia dan akhirat.

7.   Justeru, melalui program ini ia dapat melahirkan pelajar yang mempunyai kekuatan Jasmani, Agama, Rohani dan Intelektual dalam menghadapi arus dunia globalisasi.  Golongan Professional Hafiz akan menjadi satu aset penting Negara dalam menyumbang ke arah pembangunan dan membantu perkembangan Islam.

8.   Suka saya kongsikan di sini mengapa musuh-musuh Islam menjadikan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran operasi penghapusan etnik.  Semasa serangan tentera Yahudi terhadap Palestin pada Disember 2008 yang berlaku ketika bulan suci Ramadhan tahun 1429 H, umat Islam Palestin telah melatih sekitar 3500 kanak-kanak Palestin yang telah menghafal Al-Quran.  Kanak-kanak tersebut sudah menghafal 30 juz Al-Quran.  Ini menjadi sumber ketakutan musuh Islam.

9.   “Jika dalam usia semuda itu mereka sudah menguasai Al-Quran, bayangkan 20 tahun lagi mereka akan jadi seperti apa? ” Demikian pemikiran yang berkembang di dalam fikiran musuh Islam.

10.   Tidak hairan jika kanak-kanak Palestin menjadi para penghafal Al-Quran.  Keadaan Gaza yang dikepung dari segala arah menjadikan masa mereka terus berinteraksi dengan Al -Qur’an. Keadaan tersebut memangkin mereka untuk menjadi para penghafal Al-Quran ketika masih begitu muda.  Ketakutan musuh Islam terhadap keadaan ini menyebabkan kira-kira 500 kanak-kanak penghafal Quran itu telah syahid.

11.   Beginilah cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Al hafiz muda di Palestin dalam menyimpan memori Al Quran.  Tetapi Alhamdulillah kita di sini dapat membangunkan minda para pelajar dilengkapi dengan pedagogi kerohanian yang mantap.

12.   Di kesempatan ini juga, apa yang saya ingin nyatakan ialah kita harus hentikan tanggapan serta tohmahan bahawa Islam adalah pengganas!  Jangan sesekali berpandangan berat sebelah apabila sesuatu pembunuhan berlaku!  Jangan dibutakan mata dan hati oleh propaganda media dan hanya mengikut tanpa mengetahui perkara sebenar.  Kenali dan fahami Islam dan barulah mereka tahu apa sebenar-benarnya agama Islam.  Islam Bukan Pengganas dan Pengganas Bukanlah Orang Islam! Akuilah akan realiti dan kebenaran ini!  Semoga Allah SWT melindungi kita semua dan keadilan akan terserlah jua.

Para Graduan Sekalian.

13.   Anda masih muda. Perjalanan untuk memburu kecemerlangan  akademik,  masih jauh dan terbentang luas di hadapan.  Justeru, usah persiakan kesempatan yang ada, kerana kata hukamak, “barangsiapa yang tidak mahu maju dalam mencari ilmu, maka jiwanya umpama lampu yang kehabisan minyak, makin lama makin malap dan kemudian menjadi gelap.”

14.   Sementara Alvin Toffler, seorang penulis terkenal pernah menyatakan bahawa “bidang pendidikan pada abad ini sangat penting dan mesti berupaya melahirkan pelajar yang kreatif, yang mampu menyelesaikan masalah dan boleh berfikir secara kritis”. Demikianlah perihal kepentingan penguasaan ilmu.

15.   Justeru, berbekalkan sijil graduasi yang para pelajar terima pada hari ini, serta iringan doa dan harapan daripada ibu bapa dan guru-guru serta rakan-rakan, saya yakin para pelajar akan menjadi insan yang cemerlang pada masa hadapan, sejajar dengan matlamat sekolah dan aspirasi kerajaan untuk melahirkan modal insan yang mempunyai pemikiran kelas pertama demi kesejahteraan negara.

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

16.   Penguasaan ilmu-ilmu moden seperti  sains dan teknologi dalam kalangan masyarakat akan dapat meningkat daya saing negara di peringkat global. Menyedari akan kepentingan penguasaan  ilmu-ilmu ini di peringkat sekolah, maka generasi Y adalah antara golongan yang sangat diharapkan untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang ini.

17.   Namun, penekanan dalam kedua-dua bidang ini  (IQ dan EQ) sahaja  adalah masih tidak memadai.  Alasannya, kita tidak berhasrat melahirkan generasi yang pincang; yang hanya terdidik minda tetapi tidak terdidik akhlak.  Justeru, aspek pembangunan sahsiah diri dan kecerdasan kerohanian (SQ) juga mesti diberi keutaman.  Rasionalnya, pakej tiga dalam satu ini adalah bertujuan untuk menjadikan para pelajar sebagai insan yang seimbang  dan dapat  memenuhi antara tuntutan dunia dan akhirat agar anda dapat mencapai kecemerlangan  hidup  di dunia dan  kecemerlangan di akhirat.

18.   Di samping itu, aspek kemahiran insaniah ‘soft skill’ tidak boleh di kesampingkan; penghayatan nilai-nilai patriotisme yang disemai melalui pembelajaran mata pelajaran sejarah, ketrampilan komunikasi, kreativiti, inovasi, kepimpinan, pengurusan organisasi dan sebagainya perlu dikuasai ketika anda terlibat dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.

19.   Dalam pada itu, kerajaan tidak mahu para pelajar masih lagi memiliki minda kelas ketiga ketika kerajaan sudahpun membangunkan infrastruktur sekolah kelas pertama. Justeru, ketrampilan anak-anak dalam pelbagai disiplin ilmu adalah sangat diharapkan oleh kerajaan. Sesungguhnya tenaga kerja yang mahir dan kompeten merupakan aset terpenting bagi melestari dan menjayakan misi nasional ini.

20.   Akhir kata, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang tidak terhingga kepada  Imamul Muslimin H. Yakhsyallah Mansur, Ketua Pengurusan Pesantren Al-Fatah serta guru-guru Al-Quran daripada Pasentren Al-Fatah, juga kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan kejayaan program ini demi kemaslahatan sejagat. Besarlah harapan saya agar program seumpama ini dapat diteruskan lagi supaya kita dapat memperkasa dan mendaulatkan Al-Quran di mata dunia.

21.  Saya akhiri ucapan ini dengan Mafhum sabda Rasulullah S.A.W.  “Sesiapa membaca al-Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk 10 orang anggota keluarganya yang mereka semuanya telah ditetapkan untuk masuk neraka.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Nasa’i).

Sekian, terima kasih.