MERASMIKAN PELANCARAN JELAJAH USAHAWAN MALAYSIA PAKAR (JUMP)

Tempat: 
DEWAN TUN DR. ISMAIL, PWTC, KUALA LUMPUR
Tarikh: 
Saturday, January 9, 2016

 Bismillah hirrahman nirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

1.     Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Allah SWT, dengan izin-Nya kita dapat berkumpul di sini dalam Seminar Jelajah Usahawan Malaysia Pakar (JUMP) yang dihadiri seramai 1000 orang. Saya percaya ia bakal menjadi satu fenomena yang akan membuka mata semua bakal-bakal usahawan yang baharu menceburi bidang keusahawanan ini.

2.     Pada penghujung tahun 2015, saya telah menyasarkan kempen "1 Keluarga 1 Usahawan" dalam tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.  Selaras dengan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada Pertubuhan Jaringan Pakar Berjaya atau (PAKAR BERJAYA) kerana menjadi salah satu NGO yang menyahut sasaran saya dan mengambil langkah inisiatif untuk menjelajah ke seluruh Malaysia dari Zon Selatan, Zon Utara, Zon Sarawak hingga Zon Sabah.

3.     Saya juga difahamkan seminar ini akan diisi dengan sesi perkongsian idea dan strategi perniagaan oleh barisan Speaker seperti Dato’ Sri Mahadi BZ, Dato’ Dr. Lawrence Walter Ng, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman serta usahawan selebriti Fizo Omar, saya berpendapat ini dapat menarik minat dan menjadi satu ‘plus point’ untuk peserta hadir dan berkongsi pengalaman daripada barisan speaker ini.

Hadirin dan Hadirat Sekalian.

4.     Keusahawanan di Malaysia bermula sejak awal zaman Kesultanan Melaka lagi apabila penduduk tempatan berurus niaga dengan pedagang asing. Apabila British memerintah Tanah Melayu, mereka telah menukar struktur sosial dengan menjalankan pemerintahan “Pecah dan Perintah”.  Dengan ini, kaum Melayu dilantik pentadbir dan bekerja dalam sektor pertanian, kaum Cina bekerja di lombong dan berniaga, manakala kaum India pula bekerja di sektor perladangan.  Hasilnya, kaum lain lebih ke hadapan dalam soal perniagaan berbanding Bumiputera.

5.     Selepas kemerdekaan, kerajaan menyedari betapa pentingnya keusahawanan kepada individu, masyarakat dan negara.  Semenjak itu, kerajaan telah memfokuskan kepada keusahawanan sehingga sekarang.  Dasar Ekonomi Baru (1971-1990), Dasar Pembangunan Negara (1990-2000) dan Wawasan 2020, adalah memberi sokongan terhadap pembangunan keusahawanan di Malaysia.

6.     Kerajaan tidak hanya memberikan galakan terhadap pembangunan keusahawanan malah memberikan galakan pengiktirafan kepada keusahawanan. Jika kita masih ingat, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang ditubuhkan pada 8 Mei 1995 berperanan sebagai agensi utama pembangunan usahawan Bumiputera.  Objektif utama penubuhan kementerian ini adalah untuk menyediakan persekitaran yang dapat membantu dan menggalakkan pembangunan usahawan tulen yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing dalam semua sektor serta memupuk budaya keusahawanan dan koperasi di kalangan rakyat Malaysia.

7.     Namun begitu, peningkatan pendapatan kaum Bumiputera masih belum memuaskan kerana ia masih agak ketinggalan berbanding kaum lain di Malaysia. Berikutan itu, kerajaan memberi tumpuan kepada kaum Bumiputera untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.  Sehingga kini dorongan dan galakan kerajaan kepada kaum Bumiputera supaya melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, terutamanya industri kecil dan sederhana, mewujudkan tindak balas yang positif.

8.     Seperti biasa, saban tahun negara akan bertukar pemimpin dan bertukar Belanjawan dan Pelan. Pelbagai langkah telah diambil oleh pemimpin untuk membantu usahawan Bumiputera.  Namun begitu, kaum Bumiputera masih berada di takuk lama dan hanya sedikit peningkatan kita dalam ekonomi negara. Bangsa Melayu terlalu leka dan mengambil mudah pembabitan dalam bidang ekonomi.

9.     Ekonomi adalah sangat penting untuk dikuasai jika kaum Bumiputera ingin terus maju.  Kaum Bumiputera mempunyai kuasa beli (buying power) terbesar dalam negara ini. Sebagaimana politik, kaum Bumiputera turut berdepan dengan dilema ekonomi yang rencam.  Ketika usahawan gergasi menikmati kek ekonomi negara dalam peratusan yang besar, usahawan Melayu dan bumiputera masih lagi bergelut untuk meneruskan survival.

10.    Kita sebenarnya tidak memerlukan statistik untuk melihat di mana kedudukan orang Melayu dan bumiputera dalam persekitaran ekonomi semasa.  Meskipun merupakan kaum majoriti dan pengguna yang terbesar, namun penguasaan ekonomi kaum Melayu dan kaum lain jelas wujud kesenjangan. Hanya segelintir kecil sahaja usahawan Bumiputera yang terlibat dalam ekonomi kritikal dan bernilai tinggi.  Selebihnya, ramai yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan yang keuntungannya tidak banyak merubah taraf hidup kaum Bumiputera itu sendiri.

11.    Kerana itu adalah penting untuk usahawan bumiputera ini terus digalakkan untuk terbabit dengan lebih aktif dalam persekitaran ekonomi semasa.  Dari sudut peluang dan kemudahan misalnya, usahawan bumiputera memiliki banyak kelebihan dan peluang berbanding usahawan bukan bumiputera.

Saudara dan Saudari Sekalian.

12.    Usaha Kerajaan dalam membangunkan usahawan Bumiputera, terlalu banyak bantuan dari sudut galakan, modal, lokasi berniaga dan sebagainya disediakan sama ada secara langsung oleh kerajaan atau menerusi agensi-agensi berkaitan.  Apa yang tinggal hanyalah sejauh mana keberanian usahawan Melayu dan bumiputera untuk terjun ke dunia perniagaan yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa.

13.    Pihak kerajaan telah melakukan berbagai usaha ke arah memupuk dan mengembangkan asas keusahawanan di kalangan bumiputera bagi melahirkan usahawan yang berdaya maju dan berdaya tahan. Antaranya melalui penglibatan mereka secara langsung dan aktif dalam dunia perniagaan.  Pelbagai agensi telah disediakan untuk membantu usahawan Bumiputera.

14.    Banyak tabung yang bertujuan khusus untuk membangunkan usahawan bumiputera telah ditubuhkan.  Antaranya ialah Tabung Usahawan Baru, Tabung Industri Bumiputera, dan Tabung Usahawan Kecil yang semuanya bertujuan membantu usahawan kecil dan sederhana.

Peserta Seminar Yang Dihormati Sekalian.

15.    Kita harus menerima hakikat bahawa terdapat beberapa kelemahan usahawan Bumiputera seperti kekurangan modal, kekurangan kemahiran pemasaran, kekurangan pengetahuan dan teknologi, kekurangan pekerja mahir, kekurangan kemahiran dan pengetahuan pengurusan dan ketidakmampuan untuk mendapat premis perniagaan yang sesuai.

16.    Faktor yang sama juga telah menyebabkan kegagalan perniagaan iaitu pengurusan yang lemah, masalah pemasaran dan kewangan, faktor perundangan dan peraturan serta faktor peribadi dan keusahawanan. Walaupun sistem pendidikan secara beransur-ansur mengubah nilai dan sikap Bumiputera ke arah perubahan positif, masih terdapat beberapa golongan usahawan Bumiputera yang masih ketinggalan dari segi daya cipta, amalan perniagaan yang baik dan semangat bekerja yang gigih.  Budaya niaga keusahawanan dan kesanggupan menanggung risiko masih belum dihayati sepenuhnya oleh masyarakat peniaga Bumiputera.

17.    Usaha kerajaan untuk membantu kaum Bumiputera telah banyak dilaksanakan, dan pendidikan perdagangan dan keusahawanan telah lama wujud di Malaysia.  Kementerian Pendidikan juga memainkan peranan penting mewujudkan pelapis usahawan melalui program seperti Usahawan Muda dan Briged Usahawan. Profil usahawan Malaysia mendapati usahawan menghadapi masalah dalam bidang kewangan kerana mereka kurang pengetahuan. Memandangkan pesatnya perkembangan keusahawanan sekarang ini, adalah penting untuk dijalankan kajian bagi mengenal pasti tahap keupayaan usahawan Bumiputera di Malaysia setelah kerajaan mempergiat usaha untuk membangunkan keusahawanan.

18.   Berdasarkan statistik terhadap usahawan-usahawan Bumiputera yang bernaung di bawah Dewan Perniagaan Melayu telah mendapati bahawa 55% usahawan Bumiputera telah pun berkecimpung dalam dunia perniagaan melebihi 10 tahun. Walaupun perniagaan mereka merupakan perniagaan kecil-kecilan (72% mempunyai pekerja kurang daripada 20 orang), mereka masih menghadapi masalah utama untuk mengutip akaun boleh terima, iaitu seramai 61% belum mampu untuk mengatasi masalah tersebut.

19.    Di samping itu juga didapati 61% kurang berkemampuan untuk menjalankan kajian pasaran, 60% belum begitu mampu menyediakan laporan kewangan dan seramai 58% kurang berkebolehan untuk menentukan arah aliran produk. Ini membimbangkan kerana kebanyakan daripada kemahiran perakaunan dan pemasaran yang dianggap penting untuk kejayaan masih lagi belum dikuasai sepenuhnya oleh usahawan Bumiputera.

20.    Apakah faktor utama yang menyebabkan keadaan ini? Dapatan juga menunjukkan hanya 26% usahawan telah berpeluang mengikuti latihan keusahawanan selama enam (6) bulan dan lebih.  Kebanyakannya 57% hanya telah berpeluang mengikuti kursus keusahawanan kurang daripada (6) bulan.

21.    Fenomena ini mungkin mempengaruhi persepsi mereka terhadap keupayaan melaksanakan kemahiran keusahawanan terutama dalam bidang pemasaran. Seramai 17% pula tidak pernah mengikuti latihan langsung dan hanya 44% pernah mengikuti kursus berbentuk perakaunan atau kewangan. Ilmu pemasaran didapati amat penting untuk usahawan bumiputera.  Keputusan yang dibuat dalam aspek pemasaran selalunya mempengaruhi usaha mereka dalam merancang, menjalankan dan menguruskan perniagaannya.

22.    Usahawan Bumiputera hendaklah mengoperasikan perniagaannya berlandaskan amalan pemasaran yang betul.  Terdapat banyak syarikat yang muflis kerana pemiliknya tidak mempunyai pengetahuan yang cukup dalam menangani keadaan pasaran yang sentiasa berubah.

23.    Memandangkan seramai 92% usahawan Bumiputera merasakan latihan keusahawanan adalah penting, dan mereka telah mula sedar akan kepentingan sesuatu kemahiran tertentu maka adalah lebih baik sekiranya mereka diberi peluang sewajarnya untuk mengikuti program latihan dan pembangunan usahawan yang sempurna seperti seminar ini.

24.    Program latihan bukan sekadar pendedahan sahaja tetapi mempelajari selok-beloknya. Program latihan keusahawanan ini perlu diubahsuai pelaksanaannya seperti menggunakan kaedah berbentuk pengalaman atau 'experiential' dan berorientasikan tindakan untuk menepati keperluan dan kehendak spesifik usahawan bagi menjadikan seseorang itu bertambah maju dan tidak ketinggalan dalam segala bidang. Kaedah ini penting kerana untuk mempelajari aspek perakaunan yang spesifik adalah lebih sukar jika kaedah yang digunakan tidak tepat. Ini semua akan dapat membantu mengecilkan jurang jumlah usahawan berjaya dan yang gagal.

25.    Seharusnya kemahiran keusahawanan yang penting dan perlu dikuasai dapat dipelajari secara formal atau tidak formal sebelum mula menceburkan diri lagi. Kemahiran tersebut dapat dipertingkatkan penguasaannya secara beransur-ansur setelah berkecimpung dalam dunia perniagaan.

26. Pada hemat saya semua krisis yang melanda usahawan bumiputera hari ini boleh diselesaikan jika wujud satu agensi khas atau kementerian khas seperti Kementerian Pembangunan Usahawan yang pernah ada dahulu diwujudkan semula.  Walaubagaimana pun, kita akan melakukan survey dan merinci pelbagai suara dan pandangan, adakah harus kita kembalikan Kementerian Pembangunan Usahawanan ini dalam memperkasa usahawan bumiputera dalam menempuh cabaran abad ke 21.

Saudara dan Saudari Sekalian.

27.   Kerjasama dan jaringan perniagaan perlu wujud antara semua usahawan, terutamanya di kalangan usahawan baharu, agar dapat saling melengkapi antara satu sama lain dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar.  Adalah menjadi harapan saya untuk melihat komuniti usahawan baharu ini menjadi lebih kuat dan berkeyakinan serta tidak mudah mengalah. Pada pandangan saya, dengan pengaruh atau penggunaan media sosial pada masa sekarang tidak menjadi limitasi pada komuniti usahawan ini untuk bersatu dalam perkongsian kepakaran dan pengalaman masing-masing.

28.    Saya amat berharap agar program seminar keusahawanan ini benar-benar dimanfaatkan oleh anda semua dalam memastikan matlamat kerajaan untuk mewujudkan 1Usahawan 1Keluarga yang berani, cemerlang, fokus, bersemangat dan berdaya saing dapat tercapai.  Walaupun tiada jalan pintas untuk menjadi usahawan yang berjaya sehingga ke peringkat global, saya percaya program seminar keusahawanan ini merupakan sebuah platform yang boleh memacu anda semua dalam mengharungi arena perniagaan yang lebih mencabar kelak.

29.    Akhir kata, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua usahawan dan bakal usahawan yang menyertai program Seminar Jelajah Usahawan Malaysia Pakar oleh PAKAR BERJAYA ini.  Semoga segala usaha kita sentiasa diberkati dan diredhai Allah S.W.T. Dengan lafaz "Fasabbih Biham Dirob Bikawas Taghfir Innahu Kanatau Waba", saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Jelajah Usahawan Malaysia Pakar atau JUMP.