Pembangunan Luar Bandar Perlu Keseimbangan Fizikal Dan Sosial

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Usaha membangunkan kawasan luar bandar perlu dilaksanakan secara holistik dengan menitikberatkan keseimbangan pembangunan fizikal dan nilai-nilai sosial yang berteraskan masyarakat timur, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata ini penting kerana pengabaian terhadap elemen berkenaan boleh menyebabkan negara hancur.

"Apa gunanya ada infrastruktur hebat tapi institusi keluarga diabaikan. Tiada lagi nilai-nilai sosial di mana seorang ibu boleh menjaga sembilan orang anak tapi sembilan orang anak belum tentu boleh menjaga seorang ibu. "Apabila nilai-nilai materialistik menjadi keutamaan, tidak ada lagi nilai-nilai tradisional kemelayuan kita dan nilai kebumiputeraan kita yang dipertahankan," katanya semasa merasmikan Konvensyen Pembangunan Luar Bandar 2017 di sini, hari ini.Katanya negara juga harus mengambil iktibar daripada negara-negara yang menghadapi ketidakseimbangan dalam pembangunannya sehingga menyebabkan kemerosotan nilai-nilai yang baik.

Ahmad Zahid berkata dalam menghadapi Transformasi Nasional 2050, kerajaan juga perlu mencari pendekatan bagi memastikan keseimbangan kemajuan antara penduduk bandar dan luar bandar supaya mereka tidak terperangkap dalam kepompong pemikiran yang mundur. Beliau berkata pihak terlibat perlu berupaya menterjemahkan komitmen dan iltizam kerajaan dalam membangunkan penduduk luar bandar seiring penduduk bandar.

Katanya ini penting memandangkan 60 peratus daripada penduduk yang kini tinggal di bandar merupakan pengundi di luar bandar. Beliau berkata ketika ini sebanyak 75 peratus penduduk negara tertumpu di bandar dan selebihnya di luar bandar. Ahmad Zahid berkata menjelang 2050, kira-kira 85 peratus penduduk negara dijangka bertumpu di bandar. Timbalan Perdana Menteri berkata keprihatinan kerajaan terhadap pengundi luar bandar harus mampu diterjemah dalam bentuk undi kepada kerajaan.

"Kita harus pegang tampuk pemerintahan dan pada masa yang sama kita harus ambil kepedulian terhadap mereka yang harus diberi kepedulian,? katanya. Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak membenarkan pembangkang mendakwa setiap kejayaan hasil usaha kerajaan adalah usaha mereka. Mengambil contoh kemajuan yang dicapai oleh beberapa negeri yang kini diperintah pembangkang, Ahmad Zahid berkata kejayaan itu sebenarnya adalah hasil kerja keras kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan negeri pembangkang bukan sahaja tidak berterima kasih terhadap BN, tetapi sanggup mengaku pelaburan asing yang dibawa masuk ke negeri yang diperintah mereka adalah hasil usaha mereka.

GAMBAR 

BERNAMA

Malay
Sumber: 
BERNAMA