PERUBAHAN GEOPOLITIK PERLUKAN ASEAN TINGKAT KERJASAMA, KETERANGKUMAN - TPM

KUALA LUMPUR, 19 April 2016 (Bernama) -- ASEAN kini menjadi perhatian strategik kuasa-kuasa besar dan ini memerlukan kerjasama dan keterangkuman pertahanan dan keselamatan serantau dipertingkatkan lagi, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata ASEAN perlu memainkan peranan proaktif sebagai pemacu kuasa utama dalam menghadapi cabaran ini dan pada masa sama menyesuaikan diri dengan persekitaran keselamatan yang dinamik dan sentiasa berubah.

"Malaysia dan negara anggota ASEAN yakin dengan perbincangan dan kerjasama pelbagai hala.

"Saya pasti kerjasama efektif dan erat seumpama ini penting untuk meningkatkan keupayaan dalam mengenal pasti dan menangani apa juga ancaman yang mungkin menjejaskan keselamatan dan kestabilan serantau," katanya dalam ucapan penutupan Forum Putrajaya 2016 di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata ASEAN telah diiktiraf sebagai platform dalam usaha mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, dan mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan kuasa serantau dan luar rantau secara konstruktif.

Malaysia sentiasa memperjuangkan kepentingan kerjasama pelbagai hala dan serantau serta rangkaian hubungan diplomatik, yang meliputi seluruh dunia dalam usaha mendepani cabaran-cabaran keselamatan yang muncul, katanya.

Ahmad Zahid berkata masih terdapat beberapa isu keselamatan seperti geopolitik yang masih merupakan cabaran terhadap usaha rantau untuk menjamin keamanan dan kestabilan berkekalan.

"Geopolitik rantau ini turut mengalami perubahan ketara dengan kuasa-kuasa besar saling bersaing untuk keutamaan di rantau ini.

"Kepentingan kawasan maritim di Asia Tenggara yang mempunyai beberapa laluan laut yang strategik dan penting, Selat Melaka dan Laut China Selatan, akan terus menarik perhatian dan minat," katanya.

Sehubungan itu, ASEAN perlu terus menyesuaikan diri, menyemak semula dan meningkatkan kapasiti dan keupayaan seiring dengan perubahan masa, katanya.

Forum itu diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2016 selama empat hari, yang menghimpunkan pengusaha industri daripada 60 negara, serta pelawat perdagangan daripada 77 negara.

Malay
Sumber: 
BERNAMA