SAMBUTAN HARI ULANGTAHUN UNIT TINDAKAN KHAS (UTK) KE-41

Tempat: 
Padang Kawat FRU Cheras, Kuala Lumpur
Tarikh: 
Friday, January 1, 2016

Bismillah hirrahman nirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

1. Terlebih dahulu izinkan saya merakamkan ucapan berbanyak terima kasih kepada pihak Polis Diraja Malaysia, yang telah memberi ruang kepada saya bagi merasmikan majlis Sambutan Penubuhan Hari Unit Tindakhas (UTK) Yang Ke-41, pada pagi ini. Majlis ini saya kira amat bersejarah, kerana ia merupakan satu lagi penanda aras kemajuan kepada pasukan khas PDRM iaitu UTK yang semakin matang dan berjaya di dalam tugasan-tugasan yang dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman negara.

Hadirin yang dihormati sekalian.

2. Saya kira, dalam banyak pencapaian-pencapaian yang telah UTK catatkan sepanjang 41 tahun sejak mula ditubuhkan sebagaimana yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara sebentar tadi, ianya membuktikan dengan jelas bahawa pasukan khas PDRM ini mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mana-mana pasukan elit di dunia pada hari ini. Syabas dan setinggi tahniah saya ucapkan kepada UTK dan PDRM!

3. Namun, sejajar dengan arus pembangunan negara dan kepesatan teknologi, peranan dan tanggungjawab UTK dalam memenuhi tuntutan kepolisan moden akan menjadi semakin kompleks dan amat mencabar. Justeru, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah bagi memperkukuhkan lagi unit ini dengan merangka strategi pembangunannya sama ada dalam bidang latihan, infrastruktur, aset atau sokongan logistik supaya selari dengan kepesatan kemajuan teknologi masa kini dan setanding dengan ancaman yang bakal mendatang.

4. Alhamdulillah, Kerajaan sedang mempertimbangkan pembinaan Kompleks Operasi dan Pentadbiran UTK dalam Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) yang mana sebuah bangunan operasi Unit Tindakhas akan dibina di luar Bukit Aman bagi menempatkan operatif-operatif UTK dan operasi pentadbiran mereka agar lebih efisien.

5. Selain itu, kerajaan juga sedang menambah baik “Personal Integrated Tactical System (PITS) from head to toe” dengan mendapatkan peralatan dan kelengkapan terkini sesuai dengan ancaman tugas yang dihadapi pada masa ini untuk kegunaan operatif-operatif UTK. Tidak ketinggalan kajian elaun untuk operatif-operatif UTK yang sedang dijalankan sebagai pengiktirafan kerajaaan dan PDRM terhadap keupayaan dan profesionalisma yang dimiliki oleh setiap operatif UTK memandangkan mereka sentiasa terdedah kepada pelbagai risiko.

Hadirin yang dihormati sekalian.

6. Berkhidmat untuk negara merupakan satu amanah besar yang telah dipertanggungjawabkan kepada pegawai dan anggota PDRM pada setiap masa. Justeru, semua peringkat pegawai dan anggota PDRM juga perlu sentiasa bersedia mempertaruhkan mahupun mengorbankan jiwa raga, perasaan dan nalurinya, demi mempertahankan ibu pertiwi ini. Malah, mereka menunaikan amanah kerajaan dan rakyat untuk melaksanakan tugas tanpa menghitung waktu, sama ada siang atau malam, saban hari. 

7. Sebagai warga PDRM, mereka juga dituntut untuk melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan keamanan dan keselamatan nyawa dan harta di mana juga tempat ditugaskan, dalam atau luar negara, sama ada di laut, pulau, tasik, sungai, atau di jalan raya, lebuh raya atau pun yang terlibat dengan operasi pencegahan jenayah dan sebagainya.

8. Oleh itu, saya ingin mengajak seluruh masyarakat untuk menghargai segala pengorbanan serta khidmat bakti yang warga polis telah curahkan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman negara selama ini. Dalam masa yang sama, saya juga menyeru kepada semua pihak terutamanya masyarakat untuk terus menjadi “mata” dan “telinga” kepada pihak polis. Saya juga berharap agar hubungan antara PDRM dengan masyarakat boleh dijadikan sebagai perkongsian pintar dalam usaha mewujudkan negara yang lebih selamat dan aman sejahtera. Ini bertepatan juga dengan tema Hari Polis yang lalu iaitu “Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada”.

9. Akhir kata, setinggi syabas dan tahniah sekali lagi saya ucapkan kepada Unit Tindakhas (UTK) yang sangat cemerlang dalam penugasan yang dilaksanakan selama ini. Marilah kita sama-sama doakan agar UTK akan terus cemerlang dan terbilang dalam menjulang nama PDRM dan Malaysia di persada dunia, insya-Allah.

Dengan lafaz mulia ”Fassabih Biham Dirob Bikawas Taghfir Innahu Kanatau Waba” Saya dengan sukacitanya merasmikan Sambutan Penubuhan Unit Tindakhas yang ke-41 pada hari ini.

Sekian, Terima Kasih.