TPM AJAK UMAT ISLAM SERTAI KERAJAAN BANGUNKAN MASJID

KUALA KANGSAR, 15 Jun (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengajak umat Islam supaya menyertai kerajaan dalam usaha-usaha membangunkan masjid.

Beliau berkata kerajaan menyalurkan banyak peruntukan bagi pembangunan masjid, kerana ia merupakan tanggungjawab bersama umat Islam terutamanya yang berkemampuan untuk turut menyumbang kepada usaha murni itu.

"Jika tidak mampu, baharulah mohon bantuan. Tidak kiralah bantuan kecil hatta seketul batu, yang penting kita ikhlas dalam membangunkan masjid," katanya ketika berucap sebelum majlis berbuka puasa dan solat Maghrib bersama masyarakat di Masjid Kubang Pekan di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan pengerusi Yayasan Kabajian Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Malek Noor.

Ahmad Zahid berkata sebarang khidmat untuk manfaat masyarakat haruslah dilaksanakan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan.

"Janganlah berharap pada kejayaan. Harapan tinggi, bila tidak tercapai, kita akan kecewa. Bila kita melayan rasa kecewa, ia boleh menjejaskan peranan kita," katanya.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid merasmikan program #1Malaysia 1Hope anjuran YAKEB dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim.

Malay
Sumber: 
BERNAMA