MAJLIS PENUTUPAN PERSIDANGAN KEBANGSAAN WANITA DAN PEMBANGUNAN KELUARGA 2018

TEKS UCAPAN

 

 

YAB DATO’ SERI DR. WAN AZIZAH DR. WAN ISMAIL

TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

MERANGKAP

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT

 

 

SEMPENA

 

MAJLIS PENUTUPAN

PERSIDANGAN KEBANGSAAN WANITA DAN PEMBANGUNAN KELUARGA 2018

 

11 OKTOBER 2018

 

DI FAKULTI PENDIDIKAN DAN SAINS SOSIAL, UNIVERSITI SELANGOR, BESTARI JAYA, SELANGOR

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bismillahir rahmanir rahim.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

dan Salam Sejahtera

 

(SALUTASI DISEDIAKAN KEMUDIAN)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

PENDAHULUAN

 

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin, peserta persidangan sekalian.

 

1.                  Saya mengucapkan terima kasih kepada UNISEL kerana memberi peluang kepada saya untuk merasmikan majlis penutupan bagi Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga 2018.

 

2.                  Persidangan yang bertemakan “Kesejahteraan Kanak-Kanak Dalam Agenda Pembangunan Mampan” ini sangat bermakna kerana kadangkala dalam kesibukan kita mengejar kejayaan, aset paling penting iaitu kanak-kanak dilupakan.

 

3.                  Saya mengucapkan tahniah kepada UNISEL yang telah menganjurkan persidangan ini dengan jayanya.

 

4.                  Saya juga berterima kasih kepada semua pihak khususnya YB. Dr. Siti Mariah Binti Mahmud, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dewan Negeri Selangor yang memberi sokongan, sumbangan dan kerjasama padu kepada Unisel dalam penganjuran ini.

 

5.                  Persidangan ini membuka peluang yang lebih luas kepada para peserta untuk membahaskan isu-isu penting kanak-kanak terutama tentang masalah, polisi, peraturan atau kaedah yang berkesan bagi mewujudkan suasana yang kondusif untuk kehidupan dan tumbesaran kanak-kanak. 

 

6.                  Kesungguhan, kolaborasi dan inovasi yang ditunjukkan dalam penganjuran program ini merupakan usaha murni ke arah memartabatkan kanak-kanak, wanita dan keluarga di negara kita.

 

 

KANAK-KANAK ASAS PEMBANGUNAN

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin, peserta persidangan sekalian.

 

7.                  Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2017, terdapat 9.5 juta orang kanak-kanak di Malaysia, iaitu kira-kira 29.7 peratus daripada populasi keseluruhan di Malaysia.

 

8.                  Kanak-kanak merupakan asas bagi semua dimensi pembangunan.

 

9.                  Ini kerana kesejahteraan kanak-kanak yang terjamin membawa kepada kesejahteraan masa depan mereka dan kesejahteraan masyarakat, serta ummah keseluruhannya.

 

10.           Pengalaman awal yang sihat di rumah, di sekolah dan di dalam komuniti memberi kesan kepada  perkembangan dalam kemahiran kognitif, sosial, fizikal dan emosi.

 

11.           Setiap kemahiran ini akan menjadi asas, bukan sahaja kepada kejayaan persekolahannya tetapi juga bagi kapasitinya untuk berfungsi dalam masyarakat dan memberi sumbangan yang bermakna.

 

12.           Itulah sebabnya kanak-kanak berhak untuk hidup dan membesar dengan sihat, tinggal dalam persekitaran yang selamat, berkembang mencapai potensi sepenuhnya dan hidup dalam dunia lestari.

13.           Perkara ini selaras dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) seperti kelangsungan hidup (survival), perlindungan (protection), perkembangan (development) dan penyertaan (participation) kanak-kanak.

 

14.               Berdasarkan prinsip ini, Dasar Kanak-Kanak Negara dan Akta Kanak-kanak 2001 telah digubal bagi tujuan Perlindungan, Pemeliharaan, dan Pemulihan kanak-kanak.

 

TANGGUNGJAWAB TERHADAP KANAK-KANAK

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin, peserta persidangan sekalian.

 

15.             Orang dewasa mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk melindungi kanak-kanak serta memastikan kebajikan, kesejahteraan dan hak mereka sentiasa terpelihara.

 

16.             Ibu bapa, penjaga, pendidik dan pemimpin masyarakat bertanggungjawab menyediakan ruang yang selamat dan sihat agar kanak-kanak dapat membina keyakinan untuk menjalani kehidupan dan memburu cita-cita mereka.

 

17.           Orang dewasa perlu sentiasa prihatin untuk menghindarkan kanak-kanak daripada sebarang potensi penganiayaan, penderaan dan pengabaian yang dapat mengancam keselamatan fizikal, mental dan emosi kanak-kanak sama ada di rumah, di taman pendidikan, di sekolah atau di tempat permainan.

 

18.           Saya ingin mengingatkan bahawa adalah menjadi satu kewajipan kepada semua orang untuk melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat sebarang tanda-tanda berlakunya penderaan seksual terhadap kanak-kanak.

 

19.           Saya difahamkan sebanyak 98% daripada mereka yang berusia dari 7 hingga 17 tahun adalah berdaftar dengan institusi persekolahan.

 

20.           Kerajaan prihatin dan ingin memastikan setiap kanak-kanak diberi peluang untuk mendapat pendidikan, untuk hidup sihat, untuk berjaya dan untuk menikmati kegembiraan serta kesejahteraan dalam kehidupan mereka.

 

21.          Oleh itu, kita menyokong usaha-usaha ke arah mewajibkan pendidikan sehingga ke peringkat sekolah menengah (Secondary School).

 

22.          Faktor pendidikan ini juga merupakan salah satu pemangkin usaha-usaha yang kini dijalankan untuk menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun bagi pasangan bukan Islam dan pasangan Islam.

 

23.           Kerajaan telah merangka pelbagai program dalam Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-Kanak Negara untuk membina kehidupan kanak-kanak yang lebih selamat dan sejahtera serta merancang masa hadapan yang cerah dan cemerlang.

 

24.           Usaha ini dilaksanakan bagi menjamin hak dan kesejahteraan kanak-kanak di Malaysia.

 

25.          Dalam lawatan saya ke Jakarta baru-baru ini, saya dimaklumkan bahawa Indonesia sedang dalam rangka usaha menjadikan 514 daerah dalam negara tersebut sebagai “Mesra Kanak-kanak” atau Child Friendly berdasarkan 24 indikator (KPI).

 

26.          Daripada sejumlah 514 daerah di Indonesia ini, 369 daerah telah bersedia dan berikrar untuk menyahut usaha tersebut.

 

27.               Ini adalah sesuatu yang boleh kita kaji secara mendalam untuk mendapatkan manfaat bagi negara kita pula.

 

28.           Isu kanak-kanak perlu diberi perhatian dan ditangani dengan menggembleng setiap sumber daripada semua sektor.

 

29.           Ini sangat penting untuk kita terus berusaha menggalakkan inklusiviti dalam meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak secara mampan sebagai suatu tanggungjawab kolektif kita.

 

30.          Isu-isu yang timbul kebelakangan ini termasuklah penderaan kanak-kanak di rumah, di sekolah atau di tempat penjagaan; masalah gangguan seksual, masalah keciciran dan pembulian dalam persekolahan, masalah buruh kanak-kanak, perkahwinan kanak-kanak, pemerdagangan kanak-kanak dan pelbagai eksploitasi yang lain terhadap kanak-kanak.

 

31.           Berdasarkan kajian UNICEF (Children Without) yang dijalankan pada tahun 2017, didapati lebih kurang 22% kanak-kanak adalah terbantut (stunted), dan lebih kurang 23% kanak-kanak adalah berlebihan berat badan atau obes.

 

32.           Kita tidak sepatutnya mempunyai 22% kanak-kanak yang terbantut.

 

33.           Kita perlu berhati-hati dan mula memberi penekanan terhadap tabiat pemakanan dan kesihatan anak-anak kita.

 

34.           Apa yang kita inginkan ialah kanak-kanak yang sihat tubuh badan, dapat mengembangkan potensi sepenuhnya dan menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan.

 

35.           Pihak universiti seperti UNISEL misalnya boleh memainkan peranan yang penting dalam hal ini.

 

36.           Ahli akademik perlu menjalankan kajian-kajian yang lebih luas dan mendalam bukan sahaja untuk mengenalpasti masalah-masalah yang wujud tetapi juga mengemukakan solusi dan inovasi bagi mengatasi isu kanak-kanak dan meningkatkan pembangunan golongan muda.

 

 

PENUTUP

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin, peserta persidangan sekalian.

 

37.           Saya mengucapkan tahniah dan syabas atas penganjuran persidangan ini berharap agar program ini mampu memberi sumbangan dalam proses membangunkan kanak-kanak yang cemerlang di negara kita.

 

38.           Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada UNISEL dan semua yang terlibat dalam program ini.

 

39.           Saya doakan semoga usaha-usaha yang kita laksanakan pada hari ini diberkati dan dirahmati Allah s.w.t.

 

 

Dengan lafaz Bismillahi al-rahman al-rahim, saya merasmikan penutupan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Pembangunan Keluarga dengan tema “Kesejahteraan Kanak-kanak dalam Agenda Pembangunan Mampan”.

Tarikh
Tempat
FAKULTI PENDIDIKAN DAN SAINS SOSIAL, UNIVERSITI SELANGOR, BESTARI JAYA, SELANGOR