MAJLIS PENYERAHAN 18 PREMIS DAN HAKMILIK GERAI PENEMPATAN MANGSA TSUNAMI DARIPADA NADMA – SSI KEPADA MARA

Hadirin yang saya hormati sekalian.

 

  1. Saya berasa sangat gembira kerana dapat bersama meraikan masyarakat Taman Kuala Muda Mukim Penaga dan semua hadirin yang berada di sini pada pagi ini.

 

  1. Bersempena dengan Program Pengurusan Risiko Bencana Peringkat Komuniti Daerah Seberang Perai Utara yang diadakan hari ini, kita juga akan menyaksikan Majlis Penyerahan 18 Premis Dan Hakmilik Gerai Penempatan Mangsa Tsunami.

 

  1. Saya telah dimaklumkan bahawa Projek Pembangunan Penempatan Semula Mangsa Tsunami Taman Kuala Muda, Seberang Perai Utara ini merupakan satu projek inisiatif Kerajaan Persekutuan melalui pendanaan Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri, dengan menggunakan khidmat Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selaku pelaksana projek.

 

  1. Pelaksanaan pembinaan 461 buah unit kediaman dan 26 unit gerai ini memang telah dikhususkan untuk mangsa-mangsa yang terkesan akibat bencana Tsunami yang telah melanda pada tahun 2004.

 

  1. Pembinaan projek ini sebenarnya telah disiapkan SPNB pada tahun 2007 dan semua unit kediaman telah pun diserahkan kepada mangsa-mangsa yang terlibat.

 

  1. Hanya 8 gerai yang berjaya ditempah manakala baki 18 unit gerai yang lain tak dapat diserahkan kerana isu kewangan yang dihadapi oleh penerima.

 

  1. Alhamdulillah, apabila pentadbiran kerajaan negeri dan kerajaan pusat sudah “selari” maka semua urusan telah dapat dipermudahkan.
  2. Keputusan bersama oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah bersetuju agar 18 buah unit gerai ini diserahkan kepada pihak MARA sebagai satu langkah jangka masa panjang untuk memacu kemajuan ekonomi setempat.
  3. Kolaborasi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam agenda pembangunan rakyat terutama dalam mendepani cabaran bencana adalah satu usaha yang murni.

 

  1. Kolaborasi NADMA dan State Secretary Penang Incorporation (SSI) ini diharap mampu memberi lembaran baru dalam pembangunan masyarakat setempat.

 

  1. Saya difahamkan pada pagi tadi telah berlangsung Program Kesedaran Awam Pengurusan Risiko Bencana di sini.
  2. Program ini merupakan kerjasama bersepadu peringkat Daerah-Negeri-Persekutuan yang melibatkan pihak kerajaan, swasta dan penduduk setempat sebagai persediaan menghadapi bencana.

 

  1. Program ini juga dilaksanakan bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan keupayaan ketua-ketua masyarakat (local leaders) dalam menguruskan komuniti masing-masing agar sentiasa bersedia dalam menghadapi bencana dan ini secara tidak langsung dapat memberi pendedahan tentang peranan komuniti dalam Pengurangan Risiko Bencana (DRR) sebelum, semasa dan selepas sesuatu bencana.

 

  1. Pada awal bulan Ogos yang lalu, tak jauh dari sini, saya sendiri telah merasmikan Simulasi Bencana Gempa Bumi dan Tsunami di Sekolah dan Komuniti Kota Kuala Muda.

 

  1. Ramai yang terkesan daripada bencana tsunami yang telah melanda dahulu terutamanya di kalangan penduduk setempat.

 

  1. Selain daripada program-program berbentuk kesedaran awam, penggunaan kemudahan-kemudahan sedia ada seperti pembesar suara masjid, balai raya, telefon malah kunjungan dari rumah ke rumah akan dapat membantu menyampaikan amaran kepada komuniti setempat supaya bertindak dengan segera untuk menyelamatkan keluarga, diri sendiri dan barangan berharga.

 

  1. Kadar penembusan telefon pintar di Malaysia telah mencapai 70% pada suku ketiga 2017.
  2. Manakala kadar penembusan selular mudah-alih pula kini dikatakan telah mencapai 131.8% – memperlihatkan ramai pengguna yang mempunyai lebih daripada satu talian selular dibawah mereka.
  3. Oleh itu penggunaan telefon bimbit dan platform media sosial boleh dipertingkatkan lagi dalam mengeluarkan amaran awal bencana.
  4. Program-program kesiapsiagaan yang dirancang merupakan agenda utama dalam memperkasakan komuniti dalam pembangunan kendiri untuk menghadapi bencana.

 

  1. Kita tidak boleh alpa dan leka terhadap sebarang risiko bencana alam sehingga mengabaikan aspek persiapan dan kesiapsiagaan.

 

  1. Sebelum ini kita beranggapan bahawa Malaysia antara negara yang terselamat daripada sebarang bencana malah sebelum 26 Disember 2004, tidak ramai yang pernah dengar perkataan Tsunami itu sendiri.

 

  1. Oleh sebab itu, kesiapsiagaan itu kurang dititikberatkan.

 

  1. Walaupun bencana seperti tsunami tidak sering berlaku namun latih amal perlu diadakan secara berkala supaya kesiapsiagaan dapat diterapkan untuk dijadikan budaya oleh semua pihak.

 

  1. Saya dimaklumkan turut berlangsung program pembelajaran dan kesedaran awam kerjasama diantara NADMA menerusi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dengan tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

 

  1. Program ini telah pun diadakan di beberapa tadika KEMAS di Putrajaya dan saya sangat menyokong program yang menerapkan pendidikan berkaitan bencana ini seawal usia kanak-kanak.

 

  1. Semoga usaha yang dilaksanakan ini dapat meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan bencana terutamanya bagi golongan kanak-kanak.

 

  1. Saya menyeru agar semua pihak dapat menjadikan cakna bencana sebagai agenda utama supaya kita mampu bersedia dan mendepani cabaran bersama-sama.

 

  1. Kehadiran semua pada hari ini membuktikan komitmen yang tinggi untuk sama-sama membina kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan bencana tanpa mengira masa.

 

  1. Saya berharap dengan penyerahan 18 premis dan hakmilik unit gerai daripada NADMA – SSI kepada MARA ini, ekonomi setempat akan dapat dimajukan dan dimanfaatkan oleh semua penduduk.

 

  1. Dengan adanya 18 unit gerai ini akan membantu membangunkan ekonomi dan struktur sosial di kawasan Taman Kuala Muda ini serta dapat membantu usahawan – usahawan kecil di sini untuk memulakan perniagaan mereka.

 

  1. Tahniah kepada NADMA Malaysia, SSI, MARA, Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta semua yang terlibat dalam  menjayakan  program  pada  hari  ini.

 

  1.    Saya berharap semoga Program Kesedaran Awam Pengurusan Bencana yang diadakan hari ini dapat meningkatkan pengetahuan masyarakat setempat berkaitan kesiapsiagaan bencana.

Sekian, Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 

Tarikh
Tempat
KUALA MUDA, PULAU PINANG