MAJLIS PELANCARAN BULAN KAUNSELING KEBANGSAAN TAHUN 2018

MUKADIMAH

 

  1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya, kita dapat berkumpul di majlis pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan 2018 Dan Konvensyen Kaunseling bertemakan “Perkhidmatan Kaunseling Profesional Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat”.

 

  1. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Unit Amalan Kaunselor, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lembaga Kaunselor dan semua pihak yang terlibat dalam sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2018 ini.

 

PERKHIDMATAN KAUNSELING PROFESIONAL PEMANGKIN KESEJAHTERAAN MASYARAKAT

 

  1. KPWKM dengan kerjasama Lembaga Kaunselor telah merealisasikan Bulan Kaunseling Kebangsaan bermula pada tahun 2016 dengan hasrat untuk memberikan kesedaran tentang kepentingan perkhidmatan kaunseling profesional kepada masyarakat.

 

  1. Tema pada kali ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kewujudan kaunselor dan kepentingan perkhidmatan kaunseling profesional kepada masyarakat.

 

  1.  Peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling kini dilihat sebagai satu keperluan yang penting terutamanya dalam situasi masyarakat kini yang berhadapan dengan pelbagai tekanan kehidupan.

 

  1. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan laporan kejadian salah laku melalui akhbar tempatan oleh seorang Pengetua sekolah Tahfiz terhadap pelajarnya.

 

  1. Kejadian ini amat mendukacitakan saya.

 

  1. Isu seperti inilah yang memerlukan intervensi sosial dilaksanakan dalam menangani permasalahan yang berlaku selain daripada tindakan undang-undang yang perlu diambil.

 

  1. Di sinilah peranan pegawai sosial dan kaunselor amat diperlukan dalam memberikan intervensi krisis yang bersesuaian, bukan sahaja kepada mangsa yang terlibat, tetapi merangkumi pelajar-pelajar lain di sekolah tersebut, ibu bapa dan guru-guru.

 

  1. Malah perkhidmatan kaunseling juga sewajarnya diberikan kepada pelaku itu sendiri kerana kaunselor profesional seharusnya menerima klien tanpa syarat atau berat sebelah(non judgemental).

 

  1. Setiap intervensi krisis mempunyai cabaran dan keperluan yang berbeza.

 

  1. Kaunselor profesional perlu bersifat direktif dengan kemahiran empati dan refleksi yang tinggi kepada permasalahan klien agar dapat memberikan perkhidmatan kaunseling yang lebih berkesan, profesional dan seterusnya membina keyakinan klien terhadap kaunselor.

 

  1. Keberhasilan daripada intervensi dan perancangan yang dijalankan oleh kaunselor seharusnya berupaya  mengembalikan semula individu untuk bersama-sama masyarakat sekeliling dalam kehidupan seharian.

 

 

 

Hadirin yang dihormati,

 

KOMPETENSI KAUNSELOR

 

  1. Sehingga 31 Ogos 2018, terdapat 8,039 orang kaunselor telah berdaftar dengan Lembaga Kaunselor.

 

  1. Ini bermakna, pada masa ini, terdapat 1 orang kaunselor bagi setiap 4,030 orang penduduk.

 

  1. Nisbah ini masih terlalu besar untuk mendepani masalah sosial yang semakin kompleks pada hari ini dengan berkesan.

 

  1. Kerajaan mensasarkan pada tahun 2020, negara akan mempunyai seramai 11,000 orang kaunselor profesional, yang mana nisbahnya adalah 1 kaunselor kepada 2,945 orang penduduk.

 

  1. Oleh itu,  saya menyeru agar setiap kaunselor supaya berdaftar dengan Lembaga Kaunselor dan meningkatkan kemahiran melalui program pembelajaran profesional berterusan (CPD) supaya lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling ini.

 

  1. Selain itu, kajian terkini dalam bidang kaunseling perlu diperbanyakkan dan diperluas skop kajiannya, merangkumi isu-isu kontemporari yang berlaku sekarang.

 

  1. Sebagai contoh, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati prevalen (prevalence) masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun dan ke atas adalah 29.2% (anggaran 4.2 juta).

 

  1. Ini bermaksud 1 dalam 3 penduduk Malaysia mengalami isu yang berkait dengan masalah mental.

 

  1. Kajian yang sama dilaksanakan pada tahun 2017 yang mensasarkan skop kesihatan remaja menunjukkan bahawa perasaan cemas (39.7%) diikuti oleh depresi (18.3%) dan stress (9.6%) adalah antara tiga penyakit mental utama di kalangan remaja di sekolah.

 

  1. Berdasarkan statistik tersebut, perkhidmatan kaunseling perlu bermula di peringkat awal lagi, iaitu intervensi di peringkat pelajar-pelajar sekolah dan ibu bapa mereka yang berkaitan.

 

  1. Oleh sebab itu, kajian dalam bidang kaunseling yang bersifat impactful dan terkini diperlukan agar intervensi yang akan dilaksanakan nanti relevan dengan permasalahan kompleks masa kini.

 

Hadirin yang dihormati,

PERANCANGAN, PEMBENTUKAN DAN PELAKSANAAN DASAR

 

  1. Sukacita saya umumkan, berkuat kuasa pada hari ini,     Lembaga Kaunselor telah mewujudkan Tabung Ehsan Waris Kaunselor Berdaftar bagi menghargai Kaunselor Berdaftar yang telah meninggal dunia.

 

  1. Tabung ini disediakan kepada kaunselor-kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor, untuk menjaga kebajikan waris kaunselor yang masih ada.

 

  1. Sebagai permulaan, Lembaga kaunselor akan menyumbang sebanyak RM10,000 kepada Tabung ini, dan setiap waris akan menerima bantuan sebanyak RM1,500.
  2. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Lembaga Kaunselor yang telah mengambil langkah murni untuk menjaga kebajikan waris ahli-ahlinya yang telah meninggal dunia.

 

  1. Di samping itu, Lembaga Kaunselor juga telah membangunkan satu garis panduan iaitu Garis Panduan Perkhidmatan Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan yang boleh dijadikan rujukan untuk mengendalikan isu dalam keluarga seperti penderaan, keganasan rumah tangga, penceraian, pengabaian dan sebagainya.

 

  1. Saya yakin dengan adanya garis panduan sebegini, ia akan membantu kaunselor berdaftar memberikan perkhidmatan kaunseling yang terbaik untuk masyarakat.

 

  1. KPWKM sendiri menggalakkan kolaborasi strategik di antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) malah individu perseorangan yang terdiri daripada kaunselor profesional untuk terus merancang aktiviti-aktiviti yang boleh disertai oleh semua golongan masyarakat terutamanya sepanjang berlangsungnya Bulan Kaunseling Kebangsaan ini.
  2. Ini penting agar permasalahan keluarga yang kian mendesak pada masa kini dapat ditangani seawal krisis di peringkat akar umbi oleh kaunselor-kaunselor berpengalaman.

 

 

PENUTUP

 

  1. Akhir sekali, saya berharap agar penganjuran Bulan Kaunseling Kebangsaan memberi manfaat bukan sahaja kepada kaunselor itu sendiri, malah berupaya untuk meningkatkan kesedaran masyarakat kepada kepentingan kaunseling sebagai kaedah intervensi yang membantu meningkatkan kesejahteraan individu dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

 

  1. Sudah tiba masanya, persepsi bahawa perkhidmatan kaunseling hanya untuk insan yang bermasalah dan mampu membayar perkhidmatan perlu diubah.

 

  1. Sebaliknya, perkhidmatan ini hendaklah diberikan kepada semua lapisan masyarakat sama ada kepada golongan yang mampu atau orang kurang upaya.

 

  1. Ini bulan kita, jom jadikan ia satu kenyataan.

 

Dengan lafaz    

 

Saya, dengan sukacitanya merasmikan pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan 2018. 

 

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Wassalamu’alaikum W.B.

Tarikh
Tempat
DEWAN PERDANA NUR, KPWKM