UCAPAN PERASMIAN MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN KPWKM Bll.4/2018

PENDAHULUAN

 

  1. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurniaNya kita dapat bersama-sama dalam Majlis Perhimpunan Bulanan KPWKM Bil.4 Tahun 2018.

 

  1. Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada urus setia dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran Majlis Perhimpunan kita pada hari ini.

 

  1. Saya berdoa semoga perhimpunan ini akan mendapat keberkatan dan keredhaanNya.

 

  1. Majlis perhimpunan bulanan pada kali ini mempunyai sedikit kelainan daripada perhimpunan-perhimpunan yang lalu kerana adanya “Sesi Temu Mata Bicara Kata” yang merupakan platform dialog konstruktif yang terbaik bagi saya dan semua warga Kementerian.

Hadirin sekalian,                      

 

TEMA : MALAYSIA BAHARU HARAPAN BAHARU

 

  1. Malaysia Baharu membawa pengharapan dan erti yang besar kepada seluruh rakyat Malaysia dalam memastikan bahawa setiap rakyat, tanpa mengira kaum, agama mahupun kelas dan darjat mendapat perlindungan, layanan dan keadilan yang saksama.

 

  1. “Malaysia Baharu Harapan Baharu” diangkat menjadi tema bagi Perhimpunan Bulanan KPWKM pada kali ini.

 

  1. Saya pasti, harapan buat Malaysia ialah hasrat semua rakyat Malaysia untuk melihat kemakmuran dan kejayaan negara yang dicintai ini.

 

HARI KEMERDEKAAN KE-61 DAN HARI MALAYSIA

 

  1. Kita telah menyambut Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September yang lalu dan tahun ini merupakan tahun yang bersejarah kerana kita telah menyambut hari kemerdekaan dengan lembaran baharu di bawah kepimpinan baharu.

 

  1. “Sayangi Malaysia” yang telah diangkat sebagai tema Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun ini memberi maksud rakyat yang berbilang bangsa hidup dalam harmoni, seia dan sekata, bersatu padu dan berkasih sayang kepada negara.

 

  1. Dengan aspirasi “Sayangi Malaysia”, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, fahaman politik dan agama harus berganding bahu melakukan apa yang terbaik untuk negara kita.

 

  1. Justeru, rakyat yang menyayangi negara sudah tentu mengharapkan sistem tadbir urus yang baik atau good governance, keadilan dan suara rakyat dengan pentadbiran Kerajaan baharu ini.

 

  1. Soal keterbukaan, kebebasan, ketelusan, bersih dan amanah merupakan matlamat kepada Malaysia Baharu Harapan Baharu yang perlu dicerminkan melalui pentadbiran di bawah kepimpinan Perdana Menteri YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 

  1. Sudah tentu, pentadbiran yang telus, bersih dan amanah bersandarkan kepada kedaulatan undang-undang merupakan impian setiap rakyat dan kunci kejayaan kepada sesebuah negara.

 

  1. Salah satu kunci pentadbiran yang telus, bersih dan amanah terletak di bahu penjawat awam ialah perlu melunaskan tanggungjawab yang diamanahkan dengan integriti yang tinggi.

 

  1. Integriti sering dikaitkan dengan ketinggian prinsip-prinsip moral yang menjadi cerminan peribadi setiap individu tanpa mengambil kira sama ada dilihat atau tidak.

 

  1. Saya percaya, keruntuhan integriti merupakan sebab berlakunya kepincangan dalam sesebuah organisasi mahupun negara.

 

  1. Justeru, rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan penyelewengan perlu sentiasa menjadi musuh utama dalam pentadbiran Kerajaan hari ini.

 

  1. Semangat Malaysia Baharu tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya elemen yang saya sebutkan sebentar tadi tidak dapat dihapuskan daripada sistem pentadbiran Kerajaan.

 

  1. Saya tegaskan di sini, semua warga KPWKM mesti melaksanakan tugas-tugas dengan penuh integriti tanpa kompromi.

 

  1. Setiap kes atau aduan berkaitan isu integriti perlulah ditangani dengan penuh tanggungjawab dan neutral.

 

  1.  Tanpa pilih kasih mengikut pangkat, gred, jawatan atau pun sekecil-kecil bidang tugas.

 

  1. Integriti dan sifat amanah merupakan perisai kepada setiap penjawat awam dalam urusan pentadbiran negara.

 

PROGRAM KPWKM

 

Hadirin sekalian,

 

  1. Berpegang utuh kepada hasrat melahirkan Malaysia Baharu, Kementerian telah merangka perancangan yang lebih bersifat inklusif, proaktif, fokus dan strategik dalam memastikan hak serta kebajikan kesemua kumpulan sasar Kementerian terjaga.

 

  1. Sebagai contoh, pelancaran i-Suri pada 8 Ogos 2018 adalah bersifat untuk mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang asas kepada golongan suri rumah yang memikul tanggungjawab untuk mendidik dan membesarkan anak yang amat terdedah kepada risiko apabila berlaku musibah dalam keluarga.

 

  1. Sehingga 20 September 2018, seramai 11,982 wanita telah berdaftar dengan i-Suri, manakala 12,843 wanita berdaftar dengan i-Saraan, iaitu bagi mereka yang tidak layak untuk memohon i-Suri.

 

  1. Pelaksanaan program i-Suri adalah contoh kepada perancangan yang lebih inklusif dan proaktif kepada kumpulan sasar iaitu para suri rumah mempunyai simpanan persaraan dan perlindungan sekiranya berlaku perubahan mengejut dalam rumah tangga.

 

  1. Terkini, sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 pada 19 September yang lalu telah disambut dengan cara yang agak berbeza pada tahun ini kerana ianya dilakukan berskala sederhana dan menjurus kepada penekanan topik yang menjadi perhatian umum berbanding tahun yang sudah.

 

  1. Ini kerana aspirasi Malaysia Baharu Harapan Baharu memfokuskan kepada isu yang menyentuh hati rakyat dan meletakkan satu standard baharu dalam penyampaian dan cara pengendalian program-program Kerajaan.

 

  1. Saya mengharapkan sambutan-sambutan untuk kumpulan sasar lain seperti warga emas, OKU dan kanak-kanak perlu dijadikan lebih produktif.
  2. Sambutan-sambutan ini sepatutnya dijadikan ruang untuk menambah ilmu dan kesedaran serta tidak mengutamakan konsep hiburan agar kita dapat bersama-sama mengembleng idea mengatasi permasalahan kumpulan sasar untuk merealisasikan harapan Malaysia Baharu.

 

Hadirin sekalian,

 

  1. Persidangan Ke-7, Asean Social Work Consortium (ASWC) baru-baru ini telah sempurna diadakan pada 17 hingga 21 September 2018 di Hotel Everly, Putrajaya di mana Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada penganjuran persidangan kali ini.

 

  1. Tema bagi persidangan yang diadakan ialah “Enhancing inclusivity and Resilience among Community”.

 

  1. Beberapa perkara yang telah diberi penekanan sepanjang persidangan yang ingin saya kongsikan pada hari ini ialah peri pentingnya institusi kebajikan sosial yang baik dan efektif.

 

  1. Juga keperluan untuk memperkukuhkan kerja-kerja sosial di peringkat antarabangsa.

 

  1. Inilah antara perkara yang perlu dititikberatkan oleh Kementerian bagi memastikan kebajikan setiap kumpulan sasar dapat ditambahbaik dan dipelihara.

 

Hadirin sekalian, 

 

PENUTUP

 

  1. Saya ingin menyatakan bahawa perubahan demi perubahan yang telah dilakukan oleh Kerajaan sejak memegang tampuk kepimpinan pada Mei lalu tidak dapat menjadi kenyataan sekiranya tiada sokongan, kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada setiap penjawat awam dalam merealisasikan harapan Malaysia Baharu ini.

 

  1. Suka diingatkan bahawa setiap perubahan yang dirangka memerlukan pendekatan pelaksanaan yang berbeza-beza.

 

  1. Maka hasil atau outcome perubahan tersebut mungkin dapat dicapai hari ini, esok, bulan depan atau tahun hadapan atau mungkin 5 tahun lagi atau lebih.

 

  1. Oleh itu kita semua mestilah bekerja bersungguh-sungguh tanpa kompromi bagi merealisasikannya.

 

  1. Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha lebih gigih, sentiasa bersemangat dan komited dalam meneruskan agenda perubahan ini berlandaskan Wawasan 2020 iaitu mencapai negara yang maju dan masyarakat yang penyayang. 

 

  1. Berbekalkan semangat dan aspirasi Malaysia Baharu dan Harapan Baharu, saya berpesan kepada semua termasuk diri saya sendiri agar sentiasa konsisten dalam usaha untuk merealisasikan matlamat kita.

 

  1. Ini merupakan suatu proses yang berterusan dan sudah tentu memerlukan kerjasama setiap dari kita yang merupakan rakyat Malaysia.

 

  1. Fokus kepada apa yang boleh kita lakukan dan boleh kita tawarkan untuk negara kita yang mahukan perubahan.

 

 

 

  1. Ayuh kita selami kata-kata daripada Benjamin Franklin, “Well DONE is Better Than Well Said”.

 

  1. Untuk menjadi negara yang lebih baik, tidak cukup dengan kata-kata sahaja, tidak cukup dengan polisi-polisi di atas kertas sahaja tetapi ia memerlukan tindakan dan usaha gigih daripada setiap pihak dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.

 

Sekian, terima kasih.

Tarikh
Tempat
DEWAN PERDANA NUR, KPWKM