HARI WANITA KEBANGSAAN 2018

PENDAHULUAN

  1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita dapat berkumpul pada hari ini untuk bersama-sama meraikan Hari Wanita Kebangsaan 2018.

 

  1. Saya juga amat menghargai dan mengalu-alukan kehadiran para hadirin ke majlis yang cukup bermakna ini.

 

  1. Saban tahun kita meraikan Hari Wanita Kebangsaan pada setiap 25 Ogos. Pada tahun ini kita telah memutuskan untuk memberi laluan terlebih dahulu kepada persiapan sambutan sempena Bulan Kemerdekaan yang mana telah kita anjurkan kembali di Putrajaya.

 

  1. Mulai tahun ini, sambutan HWK akan fokus kepada program-program berbentuk platform yang mengupas isu-isu serta cabaran-cabaran yang mendepani golongan wanita bagi mencari penyelesaiannya seperti mana yang telah kita mulakan pada hari ini.

 

  1. Saya dimaklumkan dalam tempoh dua jam tadi, para hadirin telah mengikuti sesi interaksi dan diskusi bersama tujuh orang ahli panel dari pelbagai pengalaman dan latar belakang dalam membincangkan isu-isu berkaitan wanita.

 

  1. Di antaranya ahli politik, ahli akademik, pakar agama, mangsa keganasan rumah tangga dan juga wakil generasi Z.

 

  1. Isu yang dibincangkan juga cukup luas iaitu merangkumi penglibatan wanita dalam politik, kepemimpinan, sains dan teknologi, keganasan terhadap wanita, gangguan seksual serta mendepani cabaran bagi golongan kurang upaya.

 

  1. Syabas saya ucapkan kepada semua ahli panel dan hadirin yang telah mengambil peluang untuk bersama-sama mengupas isu yang telah dibentangkan.                                                                

 

TEMA: WANITA HARAPAN NEGARA

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

  1. Sebagaimana yang kita sedia maklum, tema “Wanita Harapan Negara” telah dipilih yang bertujuan untuk memberi inspirasi kepada golongan wanita selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai peranan dan keupayaan kaum wanita dalam pembentukan keluarga, perpaduan, pembangunan dan kesejahteraan masyarakat dan negara.

 

  1. Statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan anggaran wanita di negara ini (2018) adalah berjumlah 15.7 juta orang atau 48.5% daripada keseluruhan penduduk seramai 32.4 juta orang.

 

  1. Dengan jumlah wanita yang menghampiri separuh daripada populasi negara, ini merupakan suatu potensi yang boleh kita gerakkan ke arah pembangunan dan kesejahteraan negara.

 

  1. Dalam memacu Malaysia untuk mencapai status negara maju, golongan wanita harus mengorak langkah aktif untuk sama-sama memastikan Malaysia berada di landasan yang kukuh menuju ke persada yang lebih tinggi dan terhormat.

 

  1. Bagi merealisasikan hasrat ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terus komited dalam memperkasakan golongan wanita dengan kemahiran dan kompetensi yang relevan.

 

  1. Kementerian ini berhasrat untuk memulakan inisiatif pembangunan kepimpinan wanita (Women Leadership Initiative), bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka untuk menduduki kerusi lembaga pengarah dalam sektor korporat; dan kebolehupayaan mereka sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang lain.

 

  1. Mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon pernah menyebut, “the world would never realise 100% of its goal, if 50% of its people cannot realize their full potential. When we unleash the power of WOMEN, we can SECURE the future for all.”

 

WANITA - HARAPAN KERAJAAN

 

  1. Saya telah dimaklumkan bahawa kedudukan Malaysia di dalam Global Gender Gap Report 2017 yang diterbitkan oleh World Economic Forum tidak begitu menggalakkan iaitu pada tangga 104 daripada keseluruhan 144 negara di dunia.
  2. Skor kita adalah pada 0.670 dengan skor yang paling rendah di dalam sub-indeks pemerkasaan politik.

 

  1. Namun demikian, saya percaya senario berkenaan akan berubah seiring dengan kemajuan negara.

 

  1. Malaysia sedang bergerak menuju ke arah perubahan, di mana di bawah pentadbiran kerajaan sedia ada wanita semakin diberi ruang dan peluang untuk menjadi pemimpin dalam setiap lapisan masyarakat. 

 

  1. Ini dapat dilihat apabila buat julung kalinya seorang wanita dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri di Malaysia.

 

  1. Sesungguhnya saya merasa bersyukur dapat mewakili semua wanita di Malaysia dan pada masa sama humbled kerana telah diberi penghormatan untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

 

  1. Ia juga adalah selari dengan hasrat Kerajaan yang beriltizam untuk memastikan sistem ekonomi negara yang peduli wanita, menegakkan sistem perundangan yang melindungi hak dan kehormatan wanita, serta mendemokrasikan sistem politik agar wujud lebih ramai pemimpin wanita yang tampil ke hadapan.

 

  1. Selain itu, terdapat seramai empat (4) orang lagi wanita yang telah dilantik menjadi Menteri yang masing-masing memegang portfolio Menteri Pembangunan Luar Bandar, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Menteri Industri Utama, dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim. Ditambah dengan empat orang lagi wanita sebagai timbalan menteri, saya amat yakin Kerajaan akan memberi lebih banyak peluang kepada kaum wanita di masa hadapan.

 

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

SUMBANGAN WANITA KEPADA EKONOMI

 

  1. McKinsey Global Institute melaporkan bahawa ekonomi global akan terjejas sekiranya golongan wanita yang merupakan separuh daripada populasi tenaga kerja dunia tidak dapat menggunakan sepenuhnya potensi ekonomi mereka.

 

  1.  Laporan ini turut menggambarkan di dalam senario potensi penuh (full potential scenario), di mana wanita memainkan peranan yang sama dalam pasaran tenaga kerja seperti mana lelaki, ini dijangka dapat memberikan pertambahan sebanyak USD28 trillion atau 26 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) atau gross domestic product (GDP) tahunan global menjelang tahun 2025. 

 

  1. Di Malaysia pula, kajian oleh International Monetary Fund (IMF) menunjukkan sumbangan wanita dalam sektor pekerjaan terhadap KDNK benar (real GDP) telah meningkat dari 4 peratus bagi tempoh 2001 hingga 2008 kepada 14 peratus bagi tempoh 2011 hingga 2016.

 

  1.  Kajian oleh McKinsey & Co pula menjangkakan Malaysia boleh meningkatkan KDNK di antara RM6 bilion hingga RM9 bilion sekiranya kita berupaya meningkatkan lagi penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan.

 

  1. Begitulah besarnya impak peranan wanita terhadap ekonomi negara dan bayangkan sekiranya ia dapat digemblengkan dengan sepenuhnya.  Namun begitu, penyertaan wanita masih belum memberangsangkan terutamanya di peringkat tertinggi, termasuk di negara maju.

 

  1. Untuk makluman, penyertaan wanita dalam pasaran buruh hanyalah pada tahap 54.7 peratus pada tahun 2017 berbanding dengan kaum lelaki yang berada pada tahap 80.2 peratus.

 

  1. Sumber dari Jabatan Perkhidmatan Awam menunjukkan bahawa sejak Dasar Sekurang-kurangnya 30 peratus Wanita di Peringkat Pembuat Keputusan diperkenalkan, peratusan wanita di peringkat pembuat keputusan dalam sektor awam adalah pada 35.8 peratus pada tahun 2017.

 

  1. Walau bagaimanapun, data Bursa Malaysia menunjukkan peratusan wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah di Public Listed Companies (PLCs) adalah pada 13.3 peratus dan Top 100 PLCs pula, pada 19.2 peratus masing-masingnya bagi tahun 2017.

 

  1. Angka-angka ini nyata menunjukkan masih terdapat pelbagai cabaran yang mengehadkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja dan bersama-sama menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. 

 

  1. Para majikan harus sedar bahawa di dalam era persaingan sengit untuk bakat (war for talent) pada hari ini, mereka perlu mewujudkan employer value proposition yang bukan sahaja dapat menarik malah mengekalkan bakat terbaik dalam organisasi mereka. 

 

  1. Dan, memandangkan wanita merupakan separuh daripada tenaga kerja yang berkelayakan dan berkemahiran, majikan perlu melihat pewujudan pusat penjagaan kanak-kanak sebagai satu pelaburan yang boleh membawa pulangan yang baik dari segi penarikan dan pengekalan tenaga kerja yang terbaik untuk organisasi mereka.

 

  1. Sehubungan ini, Kementerian saya telah menyasarkan pewujudan pusat penjagaan kanak-kanak di semua agensi kerajaan menjelang 1 Januari 2019. Bagi mencapai hasrat tersebut, audit sedang dijalankan untuk memastikan semua agensi kerajaan mempunyai pusat penjagaan kanak-kanak di tempat kerja.

 

  1. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk menyeru pihak pengurusan agensi kerajaan supaya jangan hanya meletakkan tanggungjawab ini kepada Kementerian saya semata-mata.  Kita perlu bersama-sama mencari jalan kreatif dan inovatif untuk memastikan kepentingan semua pekerja terpelihara.

 

 

 

WANITA DAN PERLINDUNGAN SOSIAL

 

Hadirin dan hadirat sekalian,

 

  1. Kerajaan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh golongan suri rumah yang merupakan ibu-ibu yang bertanggunjawab mendidik generasi akan datang.

 

  1. Ibu saya juga merupakan seorang suri rumah yang selalu menitikberatkan soal pendidikan dan memastikan kami semua mendapat pendidikan yang terbaik.

 

  1. Saya ingin menyatakan bahawa Kerajaan mengambil berat terhadap golongan suri rumah dengan memperkenalkan satu inisiatif khas bagi memastikan keselamatan sosial mereka terjamin. 

 

  1. Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Untuk Suri Rumah atau i-Suri yang telah diumumkan pada 8 Ogos 2018 adalah merupakan skim bantuan bersasar untuk menggalakkan surirumah menabung sebagai persediaan hari tua, ketika menghadapi kesusahan dan ditimpa musibah seperti perceraian, kematian suami, suami hilang upaya dan lain-lain kemungkinan.

 

  1. Ia juga merupakan penghargaan kepada usaha dan penat lelah wanita suri rumah yang tidak berpeluang untuk menyertai pasaran kerja atas sebab-sebab yang mungkin tidak dapat dielakkan seperti atas keperluan untuk menjaga ahli keluarga seperti anak mahupun ahli keluarga yang memerlukan jagaan rapi dan sebagainya.

 

  1. Ini juga merupakan suatu usaha kita untuk memperkasa wanita agar membuat persediaan secukupnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

 

  1. Untuk makluman semua, sehingga 12 September 2018, seramai 9,011 orang wanita telah menjadi ahli i-Suri.

 

WANITA DAN HAK UNTUK DIDENGARI

 

  1. Kerajaan juga peka dan mengambil serius usaha-usaha mengarusperdanakan gender dalam penggubalan dasar negara.  Kementerian saya sedang giat mengadakan sesi konsultasi bersama pemegang taruh dalam usaha menilai pencapaian Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Negara yang sedia ada dan seterusnya membuat penambahbaikan bagi merealisasikan agenda mengarusperdanakan gender dan memastikan objektif Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Negara tercapai.  

 

  1. Hasrat negara dalam pencapaian kesaksamaan gender pula adalah selari dengan sasaran Sustainable Development Goals yang kelima iaitu untuk mencapai kesaksamaan gender dan memperkasa semua wanita dan gadis selain untuk memastikan sistem perundangan di Malaysia melindungi hak dan kehormatan golongan ini di mana mereka boleh menikmati kesaksamaan bersama di sisi undang-undang.

 

  1. Kementerian saya selaku peneraju utama dalam usaha mencapai kesaksamaan gender juga sedang giat mengadakan sesi konsultasi bersama pemegang taruh bagi membincangkan kerangka dan kandungan akta tersebut.

 

Akta ini akan menumpukan terhadap nilai-nilai gender equity iaitu keadilan gender.

 

  1. Kementerian juga sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan satu akta khusus bagi menangani isu gangguan seksual.

 

  1. Satu kajian sedang dilakukan bagi mendapat satu gambaran yang lebih jelas tentang perundangan sedia ada dalam mencegah perlakuan gangguan seksual, kekurangan perundangan semasa, data serta kaedah pembuktian dalam kes-kes yang terlibat yang seterusnya dapat membantu dalam merangka dasar dan strategi bagi menangani isu gangguan seksual.

 

  1. Selain itu, Kerajaan juga prihatin dengan kejadian perkahwinan bawah umur dan keburukannya terhadap kanak-kanak terutamanya kanak-kanak perempuan daripada segi sosial, kesihatan, pendidikan dan kewangan.

 

  1. Saya sendiri mengetuai satu jawatankuasa yang terdiri dari pelbagai agensi yang berkaitan yang telah bermesyuarat pada 13 September baru-baru ini di mana kata sepakat telah dicapai untuk menaikkan umur perkahwinan bagi kanak-kanak perempuan kepada 18 tahun.

 

  1. Usaha-usaha sedang giat dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan bagi memastikan ianya dapat segera direalisasikan.

 

WANITA DAN REVOLUSI PERINDUSTRIAN 4.0

 

  1. Revolusi perindustrian 4.0 atau IR4.0 juga berpotensi untuk membentuk lanskap kerja fleksi yang baharu dan membuka ruang untuk mengimbangkan jurang gender melalui penggunaan teknologi yang membolehkan kerja dilaksanakan tanpa kehadiran fizikal di tempat kerja. 

 

  1. Di kalangan generasi muda pada hari ini ia telah pun bermula dengan pekerjaan seperti freelancing, gigging atau kerja berbentuk kontrak yang telah berkembang sebanyak 31 peratus menurut laporan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja pada tahun 2017.

 

  1. Pada masa yang sama IR4.0 juga berkemungkinan untuk membawa perubahan yang disruptif kepada alam pekerjaan yang mungkin akan meningkatkan lagi jurang gender. 

 

  1. Sehubungan dengan ini, saya menyarankan agar kita semua golongan wanita mempersiapkan diri untuk mencari peluang yang baik daripada perkembangan IR4.0 ini. 

 

  1. Kunci kepada keupayaan kita untuk mendepani cabaran IR4.0 ialah pendidikan, termasuklah melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu baharu, mempelajari teknologi baharu serta melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran baharu yang akan diperlukan oleh kerja-kerja yang bakal diwujudkan. 

 

WANITA UNTUK WANITA

 

  1. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk menyarankan agar kita sesama wanita hendaklah saling membantu dan menyokong di antara satu sama lain.  Pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan untuk memastikan wanita diperkasakan dan mampu berdiri setanding dengan lelaki.

 

  1. Kita melihat begitu ramai wanita yang telah berjaya terutamanya di dalam sektor korporat sehingga menduduki jawatan Lembaga Pengarah.

 

  1. Di sini ingin saya menyarankan agar wanita yang telah berjaya ini memberikan bimbingan dan pementoran kepada wanita lain terutamanya wanita muda selari dengan konsep giving back to societyWanita muda juga merupakan aset yang besar kepada negara. Kementerian juga memberikan keutamaan dan perihatin terhadap kumpulan sasar ini. Kita berhasrat untuk membentuk dan melatih mereka dan akhirnya menyalurkan mereka untuk memenuhi ruang 30% pembuat keputusan dalam pelbagai sektor.

 

  1. Kerajaan juga mengalu-alukan wanita yang sebelum ini bekerja namun terpaksa berhenti untuk menjaga anak-anak atau urusan keluarga, yang kini mengalami “empty nest syndrome” untuk kembali bekerja semula.

 

  1. Di samping itu, kita juga memerlukan sumbangan daripada wanita untuk sama-sama membantu meningkatkan kehidupan wanita terutamanya golongan B40 dan miskin bandar, serta menangani isu dan permasalahan sosial pada hari ini. 

 

  1. Saya percaya wanita dengan keazaman yang kuat dan semangat yang kental boleh saling membantu di antara satu sama lain. 

 

PENUTUP

Hadirin yang dihormati sekalian,

 

  1. Sebelum mengakhiri ucapan saya pada petang ini, saya sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan kepada ahli-ahli panel, moderator dan semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menjayakan program ini.

 

  1. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada hadirin sekalian yang sudi hadir dan menyumbang kepada majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018 ini. Semoga para hadirin sentiasa berinspirasi dalam kita berusaha untuk memartabatkan golongan wanita sebagaimana ungkapan tema kita iaitu “Wanita Harapan Negara”.

 

  1. Seterusnya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan rasminya menutup Program Sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2018.

 

Wabillahi Taufik Walhidayah, Assalamualaikum Warah Matullahi Wabarakatuh.

 

Sekian, terima kasih.

Tarikh
Tempat
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA PUTRAJAYA